Wednesday 15 March 2017

Istana Hati - Bab 4




Bab 4


Lepas parkir kereta elok-elok aku buka tempat duduk belakang dan capai bakul piknik. Susah payah aku menyediakan sarapan pagi ni. 

Patut tak aku minta upah kat dia ni? Aku rasa tak ada masalah kut, aku yakin lagi pasti dia ni kaya-raya orangnya. Tapi, aku bukannya perempuan mata duitan. Maka aku senyum dan cuba ikhlaskan diri. Ini pun demi menjaga periuk nasi aku juga. Ikhlas konon!


Tak patut betul majikan aku tu. Dasar kapitalis! Ada ke main ugut-ugut. Setakat ugut aku kena berhenti kerja tu okey lagi. Yang sampai ugut aku takkan dapat bekerja dalam bidang penyiaran ni lagi, ha... yang tu kejam tahap dewa! Kurang asam betul!



Aku keluarkan bakul piknik dan baru aku perasan betapa beratnya benda alah ni. Apa yang aku bawa ni? Masa masukkan dalam kereta tadi macam tak berat pun. Hisk! Ada jin menumpang duduk dalam bakul piknik ni ke?


Aku baru je cadang nak letak ke bawah bakul piknik ni apabila ada tangan yang mencapainya daripada tangan aku. Ah, lega! Aku pusing arah gerangan orang yang mengambil bakul piknik di tanganku tadi. Bibir dah menguntum senyum sebab tak sangka tuan putera ni jenis ringan tulang juga.


Where should I put the basket, miss?” 


Mati senyuman dibibirku apabila melihat gerangan orang yang sedang memegang bakul piknik itu. Bukan YMP rupanya tetapi salah seorang bodyguard dia.


“Letaklah di mana-mana pun. Kita orang nak jalan-jalan dulu!” Aku jawab sambil pandang arah YMP. 


Apalah, kata je bodyguard dia takkan ganggu. Ni yang sampai nak kena bawakan bakul piknik apa kes? Aku tunjuk muka tak puas hati.


“Berat kan bakul tu, apa salahnya Ryan bawakan!” Itu yang YMP cakapkan kepadaku sebaik kami berjalan bergandingan.


Kalau tau berat patutnya dialah yang bawakan. Ni tak, benda simple macam ni pun nak suruh orang lain tolong. Nak kata tak ada tangan elok je terletak dua tangan di kiri dan kanan bahu tu. 


Mujurlah dia ni tetamu yang harus aku entertain selama tiga hari ni. Kalau boyfriend aku berat tulang macam ni memang bye-byelah jawabnya!


“Husna kelihatan seperti tidak puas hati sahaja? Saya buat Husna marah?” Suara lembut dan berkarisma itu kedengaran. Walaupun bahasa sopan dia tu buatkan aku rasa nak tersengih namun harus aku akui, mendengar suara itu membuatkan hati yang mula terasa panas tadi jadi dingin kembali. Suara dia bagaikan ada aura penyejuk.


Mulanya nak je aku tanya, dia memang jenis berat tulang ke? Tapi macam tak logik pula. Kalau dia lahir dalam dulang emas dan di istana kediaman dia tu ada sekian ramai pekerja, memang aci potong jari pun aku yakin dia jenis tak pernah buat kerja. 

Tengok jari jemari dia yang runcing tu pun dah tahu. Silap-silap makan pun ada tukang suap. Aku yakin telapak tangan dia lebih lembut dan gebu daripada telapak tangan aku.


“Tak, tak ada apa-apa!” Aku gelengkan kepala. 


“Husna selalu ke sini?” 


“Kadang-kadang, di hujung minggu!” jawabku.


Memang belum pernah lagi aku buat kerja gila macam hari ni. Bersiar-siar di sini pada hari kerja biasa. Tapi mujurlah juga, jumlah pengunjung memang boleh dibilang dengan jari je kalau hari biasa macam ni.


“Datang sini selalunya buat apa?” Dia tanya lagi. Ketika ini kami berjalan dengan santai sambil menikmati pemandangan di sini. 


“Beriadah, berbasikal dan berjoging!” Aku senaraikan juga beberapa aktiviti yang biasanya kulakukan di sini. Belum pernah lagi aku saja-saja nak melangak tanpa arah tujuan di sini.


“Husna suka bersenam?”


“Suka juga!” Aku tipu je ni. Sebab selalunya aku buat senaman mulut je. Mengunyah.


“Apa hobi Husna?”


Adoyai, banyak pulak soalan dia ni. Ada baiknya aku cari tempat sesuai untuk buka bekalan dan makan. Supaya dia tak perlu tanya aku banyak-banyak. Aku tak suka tau, orang korek hal peribadi aku!


“Ha, jom duduk kat sana!” Aku tunjuk arah meja dan kerusi batu yang kosong. Sesuai jadi port lepak sambil bersarapan. Aku pun dah lapar ni. Terkenangkan nasi lemak home made aku tadi membuatkan perasaan lapar menjadi berganda-ganda.


Sesuai sangat duduk di sini sambil menikmati keindahan pemandangan tasik dan bangunan-bangunan di sebelah sana. Perlahan aku buka bekal yang kubawa tadi. Ryan si bodyguard tu berlalu pergi sebaik meletakkan bakul piknik atas meja.


Aku susun tupperware berisi nasi dan lauk pauk depan mata dia. Thermal flask berisi air nescafe aku buka dan tuang isinya dalam dua biji cawan.


Dah siap isi nasi dan lauk pauk dalam pinggan aku pandang dia. 


“Kenapa?” Dia bertanya apabila nampak muka serba salah aku.


“Nak suruh dia orang rasa dulu ke?” Aku tanya sambil kerling para bodyguard yang berada nun di sana. 


“Kenapa?” Dia ulang ayat yang sama.


“Tak adalah, selalu saya tengok dalam drama Cina dan Korea tu, kalau makanan untuk raja akan ada tukang rasa dulu. Bagi memastikan makanan tu selamat dimakan,” ujarku sopan. Sebenarnya aku nak sebut racun tadi. Tapi macam kasar pulak. Maka aku berbahasa lembut.


Dia ketawa dengan nada sopan. Ketawa yang nampak macam ikhlas dan bukan sengaja dibuat-buat.


“Kenapa YMP ketawa?” Aku bukannya buat lawak.


“Husna tak ada niat nak racun saya, kan?” Dia panahkan pandangan mata redupnya kepadaku.

Laju aku menggelengkan kepala. Gila aku nak racun dia? Bukan dia je, siapa-siapa pun! Aku takde niat nak jadi pembunuh!

“Kalau macam tu tak perlulah minta dia orang rasa masakan Husna ni. Saya bukannya raja dan saya yakin Husna masak ni istimewa untuk saya, kan?” 

“Err, janganlah menaruh harapan tinggi sangat YMP. Saya takut tak menepati citarasa YMP pula nanti!” ujarku. Masa ni baru aku rasa menyesal sebab bersetuju masakkan sarapan untuk dia hari ni.

Setakat nasi lemak ni, kalau aku pergi beli dekat gerai yang selalu tu pun bukannya dia tahu. Masukkan je dalam tupperware dan mengaku itu masakan aku. Tak payahlah aku bersusah payah bangun pagi-pagi tadi. Haiya!

Tapi, tak baik menipu kan? Alah, dah terhidang depan mata pun. Sedap tak sedap belakang kira. Yang penting aku dah penuhi permintaan dia. Lega!

Dia baca doa makan dan letak sudu dan garfu atas pinggan ketepi. Botol air mineral dibuka dan dia cuci tangan. Nak makan pakai tangan rupanya. Aku je yang bajet takde jari jemari dan nak makan pakai sudu garfu pagi ni.

“Sedap!” pujinya sepatah selepas menelan sesuap nasi lemak masakanku.

“Terima kasih!” Aku cakap sambil senyum. Gila tak seronok kena puji!

“Suka memasak?” Dia tanya sebaik menelan sesuap lagi nasi lemak.

“Suka, tapi sejak bekerja jarang masak. Selalunya makan kat kedai je!” 

Aku memang suka memasak sebenarnya. Sebab tu aku enjoy mengendalikan rancangan masakan dengan stesen penyiaran tempat aku bekerja ni.


No comments:

Post a Comment