Sunday 1 June 2014

Suara Hati Seorang Ikmal - Part 2







           

              Part 2 


Wah, pagi ni aku pergi kerja dengan semangat membara. Selalunya lepas dah lama meninggalkan pejabat aku tak berapa semangat nak bekerja. Mana tidaknya, aku akan busy giler sebab banyak sangat benda yang nak diselesaikan. Meeting, discussion, pembentangan dan membuat beberapa cadangan kepada pihak atasan. 

Kerja aku ni nampak macam senang tapi sebenarnya susah. Sebab ianya bukan sahaja melibatkan department yang aku wakili malahan juga mewakili nama baik syarikat di sini serta nama baik negara juga. Yelah, kalau ada berlaku kesilapan ataupun defective pada parts ataupun komponen yang dihasilkan di sini pihak ibu pejabat senang-senang je akan kata orang Malaysia tak competent.

Selalunya yang kena tembak awal-awal lagi department akulah. Sebab di department aku inilah terhasilnya segala design dan teknologi yang dihasilkan oleh anak-anak tempatan. Walaupun selalunya kami sudah berusaha yang terbaik demi menghasilkan produk yang berkualiti dan zero defects tapi kuasa dan keupayaan manusia kan terbatas. Mana boleh semuanya serba sempurna seperti ciptaan Allah SWT. 

Oleh kerana itu juga ramai para jurutera di bawah seliaan aku ni kena bekerja sambil belajar di ibu pejabat ataupun di cawangan luar negara yang lain. Dan aku sebagai ‘penyelia’ mereka tak boleh duduk goyang kaki sahaja di pejabat yang terletak di Petaling Jaya ni. Dengan aku-aku sekali tercampak ke luar negara untuk suatu tempoh yang agak panjang. Kerap pulak tu. Nasiblah.

“Selamat pagi bos!” aku angkat muka apabila ada suara menegur. Aku nampak muka Zuraini dan dengan senyum lebar dia pandang aku.

“Selamat pagi Zu!” aku balas senyuman dia. Zuraini staf aku yang paling boleh diharap di department. Cergas dan cerdas orangnya serta ringan tulang membantu yang lain.

“Selamat pagi Encik Ikmal! Boleh tumpang duduk?” Dina, Pegawai Jabatan Sumber Manusia yang ala-ala tomboy tu pula menegur. Dia datang dari arah belakang Zuraini.

“Eh, silalah duduk… saya pun sorang ni!” aku pelawa mereka duduk. Ah, mungkin juga ini adalah tempat mereka duduk makan kebiasaannya. Kalau tak, takkan dia orang datang kat sini, kan? Aku malas nak duduk kat meja depan tu, takde mood nak sembang dengan rakan-rakan seangkatan aku yang berlainan department tu. Nanti semua orang akan bercerita fasal kerja, target, defects dan sebagainya. Bosan!

Thanks bagi cenderahati semalam bos, cantik! Coklat tu pun sedap!” Zuraini ucapkan terima kasih kat aku lagi sekali pagi ni. Semalam kan dah cakap? Ermtakpelah, dia tak ada idea nak mulakan perbualan kut.

“Sama-sama Zu…”  aku jawab sambil sudu bihun goreng ke dalam mulut. Sambil-sambil tu mata aku pandang di kaunter makanan, aku sedang mencari seseorang sebenarnya ni. Semalam masa macam ni dia dah ada kat sini. Dia tak makan ke hari ni? 

“Takkan Zu dengan budak-budak department je dapat cenderahati Encik Ikmal! Saya pun nak jugak!” Dina tanya aku dengan tak malunya. Ceh, dia ni... ingat aku ni supplier cenderahati ke? 

“You nak ke?” aku tanya sambil pandang muka dia yang chubby tu. Cermin mata bingkai plastik berwarna coklat tu menarik perhatian aku. Cantik pulak design bingkai tu, patut ke aku tanya kat mana dia buat cermin mata? 

Eh, nanti seragam pulak cermin mata kita orang, tak fasal-fasal orang ingat kami ni couple. Ah, lupakan ajelah. Belum terbuka lagi hati aku nak tackle dia ni walaupun aku tahu dia masih single and available.

“Naklah!” cepat je dia jawab soalan aku. Hrm... memang nak sangatlah ni. Nasib baik ada banyak lagi dalam kereta aku tu. Kalau dia nak sangat aku ajak dia pergi ambil sendiri kejap lagi.

Mujur dia orang berdua ni jenis makan laju. Taklah lama aku menunggu. Aku mampu habiskan separuh je bihun goreng ni. Putus selera aku apabila orang yang aku nanti tak kunjung tiba. Dia tak kerja ke hari ni? 

“Jom... pergi ambil cenderahati yang you nak tu kat kereta I!” aku cakap kat Dina. Aku biasa juga dengan dia ni. Senang berurusan dengan dia. Pegawai Jabatan Sumber Manusia yang peramah. Dengar aku cakap macam ni terus ceria muka dia. Tu belum lagi aku ajak dating!

Jadi Dina dengan diiringi oleh Zuraini mengekor aku ke tempat parkir. Aku buka tempat duduk belakang dan ambil satu beg kertas sederhana besar dan hulur kat Dina.

“Semua ni?” dia pandang aku dengan muka teruja campur terkejut.

“Ya, semua tu... bagilah kat siapa-siapa...” aku harap dia tak ada keinginan dan cita-cita nak habiskan segala jenis coklat yang banyak kat dalam tu. Bertambah chubby muka dia nanti. Tapi bukan ada coklat je kat dalam tu, ada pen dan key-chain juga. 

“Eh, bestnya... terima kasih...” comel juga Dina ni apabila dia senyum. Tapi rambut dia yang style tercacak-cacak tu buat aku seram. Kalau cicak jatuh atas rambut dia ni confirm mati. Kalah rambut aku ni dia letak gel. Aku nak girl-friend berambut panjang, macam gadis comel semalam tu.  Ya, gadis yang feminin macam tu yang memikat hati aku.

Lepas dua rakan sekutu tu berlalu pergi baru aku teringat nak ambil net book, tadi aku berlenggang kangkung je. Laptop aku tu bilalah agaknya boleh dapat balik? Perlukah aku pergi jumpa dia di IT Department? 

Ruginya aku tak minta nombor telefon dia semalam, tapi kalau aku mintak pun agak-agak dia nak bagi ke? Semalam tu bukan main protektif lagi Si Ben tu aku nampak! Macamlah Intan Liyana tu bini dia!

Aku masuk ke dalam kereta dan duduk di tempat pemandu. Aku capai beg kecil berisi net book yang aku letakkan di tempat letak kaki sebelah tempat duduk aku ni. Kurang-kurang boleh juga aku melayari internet dan jawab e-mel berkenaan kerja dengan menggunakan net book peribadi aku ni.

Masa aku angkat muka dan pandang depan aku nampak kereta Ben melintas. Intan Liyana, gadis comel semalam tu ada di sebelah dia. Mereka nampak sangat mesra berbual dan ketawa. Oh, cemburunya aku!

Jadi mereka car pool ke tempat kerja? Tapi macam mana mereka boleh rapat? Ermm... takpe, kalau segala mak nenek defective kat parts dan komponen produk tu aku boleh investigate takkan nak tahu fasal mereka ni susah sangat? Intan Liyana! Aku akan perhatikan kau!

**********************

“Mal! Berapa lama balik sini? Agak-agak lepas ni ‘terbang’ ke mana pulak?” Faridzul, Department Manager di Production 1 tanya aku. Kami sedang duduk di kerusi kayu di luar surau. Baru sudah menunaikan solat zuhur dan aku nak pakai stoking.

Aik, tanya macam tak suka aku balik sini je!” aku jawab sambil sengih. Stoking aku sarungkan ke kaki kanan.

“Bukan tak suka! Aku jealous kau selalu berpeluang ke luar negara!” Faridzul dah siap memakai kasut. Aku tahu dia cakap main-main je. Dia pun selalu juga terbang ke luar negara atas urusan kerja. Tapi taklah lama macam aku ni.

“Jom kita tukar department, tukar suka sama suka!” aku buat cadangan, aku pun dah boring asyik kena campak ke luar negara. Syarikat ni macam tak suka aku je gayanya.

“Kalaulah boleh... takkan R&D nak lepaskan kau macam tu je, kau kan aset terbesar dia orang!” Faridzul sambung sengih.

“Belum cuba belum tahu!” aku saja nak provok dia. 

“Merepek je! Kau punya pengalaman dan pengetahuan tu penting bagi syarikat. Dah betullah kau duduk kat R&D tu, aku kagum dengan pencapaian dan kepandaian kau!” Faridzul ni asyik puji-puji aku ni kenapa? Takkan nak cenderahati jugak kut!

Aku dah siap berkasut dan masa nak bangun dari kerusi aku nampak ‘si dia’ yang aku minati sedang berjalan pantas menuju ke surau. Dia mengenakan blouse lengan panjang warna krim dan berskirt labuh warna biru tua. Sepasang sepit rambut berbentuk rama-rama menghiasi kepalanya. Serius dia nampak sangat ‘cute’.

“Minat ke?” aku dengar suara Faridzul. Leka sangat aku pandang anak dara orang sampai tak perasan Faridzul masih ada bersama. Sebaik kelibat gadis comel tu menghilang di sebalik pintu surau aku toleh Faridzul yang sedang ukir senyum lain macam kat aku. 

“Comel orangnya... berkenan juga!” aku jawab dengan jujur, lepas tu aku bantai gelak. 

“Kalau nak usahakanlah sampai dapat! Best man win!” Faridzul cakap sambil tepuk-tepuk bahu aku. Lepas tu dia berjalan mendahului. 

Ikutkan rasa hati nak je aku lepak kat depan surau ni sampai Intan Liyana tu keluar. Tapi nanti nampak macam apa je, macam takde kerja sangat. Dengan langkah yang berat aku berjalan menuju ke bangunan pejabat.

******************

Siren tamatnya waktu kerja berbunyi tepat jam 5 petang. Aku baru habis discussion dengan HOD. Planner aku letak atas meja dan tubuhku menghenyak kerusi. Penat. Ramai ‘anak buah’ aku yang masih tekun menyambung kerja, seolah-olah tak perasan pun yang waktu kerja dah tamat. 

Aku pun tak boleh balik awal hari ni. Ada beberapa e-mel rasmi yang aku kena jawab. Tapi kalau aku balik awal pun bukannya ada sesiapa yang menanti di rumah. Sunyi dan sepi je menemani aku di rumah dua tingkat besar milik aku di Bandar Nusaputra tu. 

Inilah nasib bujang terlajak macam aku ni. Tapi... eh, aku bukannya tua sangat pun... belum masuk kategori bujang terlajak!  

Bukan salah aku seratus peratus kalau aku masih bujang, aku terlalu sibuk dengan kerja. Tak cukup kerja dengan syarikat ni di waktu lapang kadang-kadang papa minta aku bantu dia dengan tender dan juga kerja-kerja syarikat pembinaannya. Manalah aku tak sibuk.

Masalahnya mama tu tak nak faham kesibukan aku. Asal aku balik Klang je mesti bernanah telinga aku dengar ceramah free mama fasal isu ‘kahwin’. Sampai satu tahap aku rasa malas betul nak balik sana. Jadi, tindakan pihak syarikat selalu menghantar aku ke luar negara tu memang satu tindakan yang bijak. Sekaligus menyelamatkan aku daripada bebelan mama.

Ni pun mama belum tahu aku balik ke sini. Saja aku malas nak beritahu. Kut tak mesti mama paksa aku balik Klang dan sambung pot pet pot pet dia tu. Mama aku ni memang payah, tak makan rasuah. Bagilah hadiah semahal mana pun, dia tetap takkan tutup mulut dia fasal hal ehwal nak suruh aku kahwin. Pening la... Aku suruh papa kahwin lagi satu baru mama tau!

Setengah jam mata aku terpaku di net book. Pedih pulak mata aku ni rasanya. Aku bangun dan menuju tingkap kaca besar yang terdapat di hujung belakang tempat duduk aku. Eh, aku nampak dia!

Aku tanggalkan cermin mata, gosok-gosok mata dengan kedua-dua tangan dan lepas tu pakai balik cermin mata. Dari  tingkat dua pejabat aku nampak si dia sedang berjalan santai dengan Benjamin. Gaya macam pasangan bercinta je. Berjalan sambil bercakap-cakap. Aku nampak Benjamin ketawa, si comel tu buat lawak ke? Bahagianya muka Benjamin... ah, aku pun nak rasa bahagia macam tu.

Aku perhatikan sehingga kelibat mereka hilang daripada pandangan. Aku berpatah balik dan duduk di tempatku. Zuraini sedang berbual dengan Roslinda, jurutera yang baru setahun bekerja di sini. Kalau bercakap dengan suara yang tak perlahan macam tu jangankan aku, silap-silap MD kat bangunan sebelah tu pun boleh dengar.

“Tak sabar nak melaram malam dinner nanti!” Roslinda cakap siap dengan gaya-gaya tangan sekali.

“Wah, tentu lawa baju dinner Cik Linda nanti, tu yang tak sabar, kan?” Zuraini tunjuk muka teruja.

Aku sengih je dengar perbualan dia orang berdua ni. Dinner je kut, bukannya ada Yang Dipertuan Agong pun masa dinner tu nanti. Aku pun takde beli baju baharu untuk dinner tu, pakai ajelah apa yang ada dalam almari pakaian aku tu nanti.

“Encik Ikmal! Nanti pakai baju warna apa?” tiba-tiba Roslinda berpaling dan tanya aku. Terkejut jugak aku. Dia ada niat nak sedondon dengan aku ke? Rasa tak pernah pulak aku dengan dia declare as a couple.

“Tema apa ya?” aku memang tak ambil pot sangat, sebab jarang aku dapat attend dinner syarikat. Tahun lepas aku tak sempat nak balik. Flight delay dan aku tersangkut di Incheon, sampai Malaysia dah subuh. Jangankan dinner, waktu imsak pun dah habis.

“Futuristik!” Roslinda jawab soalan aku sambil mata pakukan kat muka aku. Si Zuraini tu pun bukan main lagi pandang muka aku, macamlah aku ni selebriti terkenal yang sedang bikin konsert. Hai la...

“Pakai baju silver ataupun hitam la bos!” dia tanya lepas tu dia pulak buat cadangan. Dahlah kejap panggil aku Encik Ikmal kejap panggil bos, jangan lepas ni dia panggil aku darling dahlah. Tak nak aku berskandal dengan pekerja sepejabat.

“Tak tahulah boleh attend ke tidak... erm, belum fikir nak pakai apa!” aku jawab sambil senyum. Kalau pakai kain pelikat dengan singlet je boleh tak? Futuristik jugak tu, ada kelainan.

Ala, baru ingat nak ajak bos pakai sama warna dengan kita orang!” Zuraini pulak bercakap sambil tunjuk muka kecewa. Hai, dia orang ni pakat satu pejabat ni ke nak pakai warna yang sama? Nak tubuhkan kumpulan boria ke apa? Hish... tak nak aku!


Idea oh idea... jenuh juga nak mencari idea nak karang kisah Ikmal ni. Hehe... kena refer novel balik. Dah lupa kat bahagian mana Ikmal ni menyelit. Ramai yang tak suka saya tulis kisah Ikmal ni. Buatkan saya terfikir nak teruskan ataupun tidak. 

Saya cuba tulis sikit dulu, tengok dulu macam mana. Rasa-rasa nak teruskan ke tidak ya?

Apa pun saya ucapkan jutaan terima kasih buat yang masih sudi menjengah dan membaca blog ini. Walaupun dah sekian lama saya tak pos apa-apa. Terima kasih berjuta-juta bintang untuk anda semua.

Luv u all...
 



6 comments:

  1. Best juga walau pun saya x suka ikmal.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Baby Mio... thanks sudi baca... hehe... marilah kita mengenali siapa Ikmal sebenarnya...

      Delete
  2. akak suka...nk gak tau psal kehidupan ikmal ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks kak... kita cuba menyelami isi hati Ikmal pulak kan... cadangan seorang kakak pembaca ni... sebab blog saya dah lama bersawang...

      Delete
  3. The "Ikmal" being potrayed here is totally different. Nmpaknye Cik Ain dh berjaya jentik rasa curiosity dlm diri saya...okay...saya still x suka dia but I want to know what's gonna happen in the next n3

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cik Fara apa2 pun terima kasih sebab sudi meluangkan masa untuk membaca suara hati Ikmal ni... insya-Allah... kita akan mula mengenali Ikmal dalam n3 yang selanjutnya :)

      Delete