Monday 9 June 2014

Suara Hati Seorang Ikmal - Part 4





Part 4

Jem, jem... sana sini jem. Kalaulah jem ni jenis yang boleh dimakan dengan roti lama dah aku bawak Roti Gardenia yang saiz Jumbo tu datang kerja. Lepas sapu jem boleh makan ramai-ramai roti nan sekampit tu.

Kerana jem ni jugak aku dah berpeluh walaupun dalam aircond. Tali leher pun aku dah campak ke tempat duduk sebelah. Tolonglah! Aku ada meeting penting pagi ni, jam 8:30 pagi pulak tu. Aku kena buat persiapan sebelum masuk meeting dan ada VC juga dengan ibu pejabat. Masak aku kalau sampai lambat.

Apa kenalah dengan keadaan jalan raya minggu ni? Rasa dah keluar awal, tetaplah juga aku tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Hai la... Kalau hari Isnin logik la, ni dah Jumaat kut. Tensionnya! Takkan aku nak datang kerja naik kapcai pulak kut, alahai... masalahnya aku ni jangankan kapcai, basikal chopper pun aku takde!

Tadi kat depan ioi Mall tu ada kemalangan yang melibatkan tiba buah kereta. Itu yang menyebabkan jem sepanjang laluan menghala ke Kuala Lumpur dan LDP. Ni selepas Plaza Tol LDP ada kereta rosak pulak? Walaweh... pandainya pilih masa nak rosak kereta ni. Terima kasihlah, sebab berjaya membuatkan aku gabra tahap gaban sekarang ni.

Akhirnya, setelah berperang dengan jem dan melawan perasaan gabra yang bagaikan tiada penghujung aku sampai juga ke tempat kerja. Lagi 7 minit sebelum siren menandakan bermulanya waktu kerja berbunyi. Aku capai beg laptop dan terus turun dari kereta dengan cepat.

Lepas picit remote control kereta aku mula melangkah dan aku disapa. Aku berpaling dan nampak Benjamin dengan Intan Liyana sedang berjalan bergandingan. Rilek je dia orang ni, macam nak pergi pasar beli ikan je gayanya. Aku ni punyalah terkocoh-kocoh, macam tak cukup udara nak bernafas. Tak cukup tanah nak berlari!

Morning Ikmal!” Benjamin sapa aku dengan senyuman mesra. Senyum yang meruntun jiwaku sebenarnya. Muka dahlah handsome, senyuman manis menawan pulak tu. Kalau aku perempuan lama dah aku jatuh cinta kat dia. Haish!

Morning Ben, Intan Liyana!” aku ukir senyuman manis. Bukan untuk Benjamin tapi untuk gadis comel sebelah dia tu.

I really have to go... see you later!” aku main belasah je cakap macam ni. Sebabnya? Aku nak terkucil dah ni. Walaupun aku nak sangat menatap wajah si comel tu tapi aku ada kerja penting pagi ni. Lain kali je aku kacau dia. Lepas lambai tangan aku berjalan laju menuju ke pejabat.

Aircond hari ni memang something kut. Dalam kereta tadi aku rasa panas, ni dari bilik meeting hinggalah aku dah duduk di meja aku pun aku masih terasa panas. Dia orang tak servis aircond ke aku yang abnormal hari ni? Aku capai folder atas meja dan kipaskan ke muka. Serius aku panas. Panas hati!

Dahlah aku attend dua meeting, non stop pulak tu. Kini jam dah menunjukkan hampir angka 12 tengah hari dan belum ada setitik air pun masuk ke perut aku hari ni. Aku tak sempat sarapan.

Thanks bos sebab back-up kita orang dalam meeting tadi!” Cheah, keturunan Baba Melaka ni cakap kat aku sebaik dia letakkan dokumen dalam in-tray aku. Cheah ni berjawatan Assistant Department Manager di bahagian A&D ( application & development). Salah satu bahagian yang berada di bawah seliaan aku juga.

“You tak boleh biarkan division lain ‘makan’ kita Cheah. Especially kalau kita tak buat apa-apa salah. You sendiri tahu kan... design kita semua ikut spec... bahagian sub cont pun tahu supplier yang tak ikut spec dan masih nak tuding jari pada R&D. Salah orang la...” aku memang mengamuk sakan dalam meeting tadi. Nasib baik aku tak melompat naik atas meja je. Tak nak la dramatik sangat.

“I tahu bos, tapi I tak pandai bercakap macam you!” sedih je mata dia pandang aku. Erm, ini memang masalah. Ramai orang yang aku jumpa pandai bercakap tapi tak berapa pandai buat kerja. Yang pandai bekerja pulak jenis tak pandai bercakap. Hatta nak pertahankan diri sendiri pun tergagap-gagap. 

Syukur, aku jenis yang pandai bercakap dan pandai kerja juga. Memang bintang aku cerah nampaknya. Alhamdulillah.

It’s okay Cheah, you did the right thing... inform me earlier if the same thing or same problem arises. I know what to do!” aku picit kepala yang agak pening. Mujur Cheah faham dan dia berlalu ke tempatnya.

Aku on laptop, kemas meja sikit dan lepas tu pandang ke arah pintu masuk. Aku nampak Norliza, jurutera di bahagian IT tu sedang berjalan masuk dengan diekori oleh si comel tu. 

Wah, tak berkelip mata aku pandang dia. Cantik giler dia berbaju kurung hari ni. Aku nampak si comel tu bertegur sapa dengan Zuraini. Norliza menghilang ke bilik pak cik Jepun tu. Laptop pak cik Jepun tu bermasalah kut.

Oleh kerana tempat Zuraini tak berapa jauh dari tempat aku maka aku boleh nampak dengan jelas muka si comel tu. Eh, eh, hari ni baru aku perasan dia ada lesung pipit yang cantik menghiasi senyumannya. Alah, kalau hati dah suka jangan kata lesung pipit, dia ada lesung batu pun aku tetap suka kat dia. I love you Intan Liyana!

“Intan Liyana!” aku panggil nama dia dengan kuat. Dia yang sedang bercakap sesuatu dengan Zuraini terus terdiam dan pandang aku. Terus aku gamit dia.

“Saya ke?” dia tanya dengan perlahan, terkejut agaknya. Aku anggukkan kepala dan perlahan dia menghampiri. Tapi aku perasan juga, Zuraini mengekori pergerakan Intan Liyana tu dengan pandangan matanya.

“Intan Liyana apa khabar?” aku tanya dia yang takut-takut berdiri kat depan meja aku. Ala dia ni, aku bukannya nak marah dia. Aku tak sanggup nak marah orang secantik dia ni, percayalah!

“Khabar baik encik!” suara dia perlahan je kedengaran. Memang sah dia takut dengan aku. Erm, adakah muka aku ni menggerunkan? Aku rasa rupa aku ni masuk dalam kategori handsome jugaklah.

Lunch kat mana nanti?” aku nak cuba ajak dia keluar makan. Mana tahu dia mahu?

“Kat kantin je...” perlahannya suara dia.


“Jom, keluar makan dengan saya!” aku pandang dia. Alah, tak habis-habis buat muka terkejut. Ajak makan je pun, belum ajak kahwin tu!

“Tengah memancing ke Encik Ikmal?” suara Norliza kedengaran. Potong betullah dia ni! Kalau suara sedap macam suara Siti Nurhaliza tu okey jugak... ni, nan ado!

Haah, tengah cuba nak memancinglah ni... mana tahu ‘ikan’ teringin nak makan umpan!” terpaksalah aku layan je ayat sengal Si Norliza ni.

“Kata orang, kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga!” Norliza sambung ayat dia sambil sengih-sengih pandang aku.

“Oh, saya tak guna kail... saya sewa kapal nelayan laut dalam terus, yang ada pukat tunda sekali, senang... tentu masuk dalam perangkap dan tak boleh keluar lagi!” aku pun tak nak kalah.

“Encik Ikmal ni memanglah... hebat betul mengarang ayat!” giliran aku pulak sengih dengar ayat Norliza ni.

“Kita keluar makan ya?” aku pandang dan tanya si comel tu sekali lagi. Kisah apa aku kalau Norliza dengar pun, bukannya aku ajak dia.

“Jumaat la Encik Ikmal, tak pergi solat Jumaat ke?” Norliza ni memang mulut takde insurans. Mengacau betullah, haish!

“Saya tahulah Jumaat, saya ajak keluar makan lain kali... bukannya hari ni!” sebaik habis bercakap HOD gamit aku. Tak sempat aku nak ayat kaw-kaw.

Bye, jumpa lagi!” aku lambai kat si comel tu sambil berjalan ke bilik Mr. Matsumoto. Apalah pak cik ni nak lagi ni?



Aku baru sudah solat zuhur di surau. Aku sorang je yang ada dalam surau tadi. Malu gila kut kalau orang tahu aku tak pergi solat Jumaat. Ni semua pak cik Jepun tu punya fasallah, minta aku bawa pelawat dari ibu pejabat tu ke KFC. Apa kat negara Jepun tu tak ada Restoran KFC ke apa?

Memang cantik sangatlah sebab elok-elok aku nak berlalu si comel tu muncul. Dia baru nak masuk dalam surau apabila aku tahan dia. Aku depangkan tangan kat depan dia, nasib baik dia berhenti. Kalau dia jalan terus memang sah-sah dia masuk dalam pelukan aku.

“Cik Intan Liyana, tak sangka pulak kantin you kat KFC ya?” geram betul aku tengok dia ni. Kecomelan dia tu selalu buatkan ritma jantung aku jadi tidak sekata. Jangan tak lama lagi aku kena jumpa Pakar Cardio pulak. Niaya aku.

“Saya ajak lunch, awak kata nak makan kat kantin, banyak alasan, kan? Kalau dengan Ben boleh pula keluar... sombong!” geram giler aku tengok dia dengan Benjamin kat dalam Restoran KFC tu tadi.

“Kan hari ni hari Jumaat? Bukan tadi encik kata nak solat Jumaat ke? Mana ada masjid kat dalam KFC tu?” sedap je bibir mongel dia mengeluarkan kata-kata yang mampu membuatkan muka aku berubah warna.

Aku lawan cakap dia, aku kata dia tak jujur. Sebab kalau aku ajak dia beralasan dan menolak. Tapi dengan Benjamin boleh pulak? Kalau dengan Benjamin bukan main manis muka dia. Dengan aku asyik pamer muka takut-takut. Tapi aku terkejut juga dengan keberanian dia memangkas kata-kata aku tadi.

Lepas dia jawab suka hati dialah nak keluar dengan siapa pun sebab aku bukan ayah ataupun suami dia, aku memang rasa geram sangat! Boleh dia blah macam tu je tinggalkan aku.

Erm, aku memang takde cita-cita nak jadi ayah dia, tapi aku ada cita-cita nak jadi suami dia. Main kasar dengan aku ya, aku akan pastikan dia kena kahwin dengan aku jugak. Baru padan muka dia! Itu jam baru dia tahu langit tinggi ke rendah. Mana dia nak lari lagi kalau dia dah sah jadi isteri aku?

“Encik Ikmal! Marah nampak?” aku toleh arah suara tu kedengaran. Macam mana aku boleh tak perasan ada orang lain di sini?

Ah, Liza... you buat apa kat sini?” aku hentikan langkah kaki.

“Ni ha, ambil dokumen kat bahagian perolehan... maaf la, tak sengaja nampak drama sebabak tadi...” Norliza sengih pandang aku sambil tunjuk dokumen di tangannya. Macamlah aku tak percaya cakap dia. Tapi kalau dia tipu pun dia yang dapat dosa. 

Aku raup wajah, aku tahu aku hilang sabar tadi. Mesti muka aku berubah menjadi merah sebab aku sendiri terasa bahang kepanasannya.

“Encik Ikmal suka Yana?” dia tanya aku dengan muka serius, hilang sengih dia tadi.

“You rasa?” takkan aku nak buat pengakuan kat dia pulak. Dia bukannya siapa-siapa dalam hidup aku. Sebagai lelaki aku ada ego tersendiri. Aku takkan sewenang-wenangnya membenarkan sebarang perempuan menguasai ego aku.

Sebab, dengan ego yang aku ada ni aku nak jugak dapatkan Intan Liyana tu. Aku takkan menerima sebarang penolakan. Aku tak nak kalah di tangan lelaki lain demi untuk mendapatkan dia. Lebih-lebih lagi dengan Benjamin, tidak! Aku takkan kalah di tangan lelaki Serani tu... aku akan pastikan!

“Manalah saya tahu apa dalam hati Encik Ikmal tapi... kalau encik sukakan dia saya sokong!”

“Maksud you?”

Yelah... Intan Liyana tu gadis polos, dia selalu bersangka baik dengan semua orang. Tapi dalam dunia ni, tak semua orang baik macam yang dia sangkakan. Saya tak kata Mr. Benjamin jahat. Tapi saya lebih suka kalau Intan Liyana jatuh cinta dengan orang yang seagama dengan kita, lebih senang, kan?” pelik juga aku dengar Norliza cakap macam ni kat aku.

“Maksud you Ben ada niat tak baik ke?” aku kenal Benjamin lebih daripada orang lain kenal dia. Aku tahu dia baik. Cuma aku tak tahu kenapa aku tak boleh nak berbaik-baik dengan dia lepas kejadian yang berlaku bertahun-tahun dahulu.

“Taklah, Mr. Ben baik. Boleh nampaklah yang dia sayang Yana tu... asyik berkepit je 24 jam!”

“You cemburu?” aku kecilkan mata dan pandang Norliza. Padahalnya aku sendiri yang rasa cemburu.

“Eh, taklah... buat apa nak cemburu? Saya dah ada tunang!” cepat je dia menangkis tuduhan aku tadi.

“Jadi?”

Dia tarik nafas dan kemudian menyambung cakap.

Yelah, kalau Yana betul-betul jatuh hati dengan Mr. Ben nanti macam mana? Nak ke Mr. Ben menukar agama? Nak ke dia masuk jawi? Saya cuma takut Yana jadi buta kerana cinta. Macam mana kalau dia sanggup buat apa sahaja demi Mr. Ben? Kalau dia sanggup ikut Mr. Ben walaupun tanpa ikatan perkahwinan yang sah, apa jadi? Macam mana kalau Yana yang terikut dengan agama Mr. Ben? Tak bahaya ke?” panjang lebar Norliza memberi penjelasan.

Terpempan aku mendengar kata-kata Norliza. Masuk dek akal juga apa yang diperkatakannya tu. Walaupun di hati kecil aku ni tidak mempercayai yang Benjamin akan melakukan hal sedemikian tapi manalah tahu, kan? Jadi, perlukah aku bertindak lebih agresif demi menyelamatkan si comel aku tu?

Thanks Liza, I got to go... I got a meeting... talk to you later!” aku pandang jam tangan. Lagi 5 minit mesyuarat akan bermula. Weekly department meeting. Hai la... tak habis-habis dengan meeting

Aku berjalan mendahului Norliza. Entah kenapa keyakinan aku untuk mendekati si comel itu menjadi semakin bertambah selepas perbualan aku dengan Norliza ni.

‘Tunggu abang sayang! Abang akan dapatkan Yana dengan apa cara sekali pun...’ hati kecil aku berbisik, penuh dengan tekad dan semangat!

4 comments:

  1. konpidem btul ikhmal ms ni nk ambik yana

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ikmal ni memang jenis yakin diri... Malaysia boleh katanya...hehe

      Delete
  2. Eeeuuwww......
    Lepas baca ni makin xsuka ikmal...
    Poyoooooo!!! Hahahaha..
    Kak ain kamalia, next entry please! Hehehehe.. Daebak..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oittt... Lia, dalam tak suka tu mintak n3 pulak...nak kena sekeh ni...kekekeke...

      Delete