Sunday 29 September 2013

Dah Jodoh I Dengan You - Bab 1





Bab  1



E-mel kiriman abang long aku baca lagi buat kesekian kalinya. Walaupun dah berulang kali aku baca, semenjak kehadiran e-mel itu tiga hari yang lalu, aku masih lagi seronok mengulang baca entah buat kali yang ke berapa pun tak tahu.
Hanya Allah SWT yang tahu betapa aku amat merindukan abang long. Rasa macam dah lama sangat abang long tinggalkan rumah dan kami terpisah. Bunyi macam ye, ye je kan. Sebenarnya abang long aku ni sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Ireland. Di University Of  Ireland Galway.
Abang long selalu memberikan aku dorongan dan semangat untuk berjaya dalam pelajaran. Dia selalu menitipkan kata-kata semangat untuk aku terus maju jaya dalam kehidupan. Dia selalu menjadi tempat rujukan aku dalam banyak perkara. Bukan setakat dalam pelajaran sahaja. Makna kata selepas emak dan ayah, abang long jatuh ranking nombor dualah dalam senarai orang yang paling aku hormat dan sayang.
Aku pulak lepas tamat diploma terus sibuk-sibuk nak cari kerja. Memang nahaslah kalau abang long tahu sebab dia awal-awal lagi dah sound suruh aku sambung pelajaran ke peringkat tertinggi. Sepatutnya aku sambung ambil ijazah tapi aku rasa malas pulak. Apply pun tidak. Setengah tahun aku dok kat kampung sambil jadi guru tadika sambilan, kat tadika Kemas dalam kampung ni je.
Aku fikir-fikir macam nak cari kerja yang bergaji lebih sikit. Yang setimpal dengan kelulusan aku ni. Aku nak bantu ayah mencari rezeki, aku rasa kasihan tengok keadaan ayah yang semakin uzur. Lagipun adik-adik aku ada lagi tiga orang yang masih bersekolah. Besar tanggungjawab ayah hendak menanggung perbelanjaan kami. Belanja rumah lagi, belanja sekolah lagi. Itu belum kira time nak buka sekolah ataupun hari raya. Memang peninglah kepala ayah nak cari duit lebih.
Ayah pun bukannya ada kerja yang bergaji tetap. Ayah cuma pemandu teksi di sekitar Bandar Temerloh. Emak pula hanyalah suri rumah tangga, ada tidak pun adalah juga emak ambil upah menjahit. Itupun kalau ada orang buat tempahan.
Kasihan ayah, kadang-kadang ayah keluar pagi-pagi hari lagi dan pulang hampir lewat malam. Simpati aku lihat wajah ayah yang penat dan lelah membanting tulang empat kerat demi mencari sesuap nasi.
Tahun ni pula ketiga-tiga adik lelaki aku akan menduduki peperiksaan penting. UPSR, PMR dan SPM. Bertambah lagi beban ayah merisaukan prestasi pelajaran anak-anak lelakinya itu. Nasib baik juga semua adik beradik lelaki aku ada otak yang boleh pakai, agak genius. Kalau nak dibandingkan dengan otak aku yang berkarat ni memang jauh panggang dari apilah nak lulus periksa. Mungkin sebabnya aku dengan mereka bukan datang daripada genetik yang sama. Itu yang pelajaran aku tak sebagus mereka agaknya.
Aku pun tak tahu kenapa aku tak sepandai abang long walaupun aku ni kategori rajin juga belajar. Rasanya selain daripada menonton tv, tidur dan makan aku habiskan banyak masa juga untuk belajar. Namun apakan daya, setakat diploma tu ajelah nampaknya pencapaian aku setakat ini. Memang tak boleh nak dibanggakan langsung.
Tapi aku ni kategori rajin jugalah membantu emak di rumah. Yelah kan… siapa lagi nak bantu emak kalau bukan aku? Satu-satunya anak perempuan dia.
Tetapi yang sebenarnya aku bukanlah anak emak dan ayah yang bela aku ni. Aku ni anak saudara mereka. Menurut cerita emak dan ayah, bapa kandung aku meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya sewaktu aku dalam kandungan lagi. Lebih malang nasib aku apabila emak aku pula meninggalkan aku sebaik sahaja aku dilahirkan ke dunia ini.
Nasib baik masa tu aku tak mengerti apa-apa. Jadi aku pun macam tak ada perasaan aje masa emak dan ayah ceritakan fasal kisah silam aku tu. Sebab tu kata emak  aku tak boleh bergurau keterlaluan dengan adik-beradik aku yang lain. Kata emak lagi aku halal untuk bernikah dengan mereka. Gila! Takkan aku nak bernikah dengan budak hingusan yang tiga orang tu? Si Fairul yang darjah enam tu? Makan pun kadang-kadang aku yang suap. Huh!
Aku tahu saja je mak mengusik aku. Mak takut aku ikut perangai kasar adik-beradik lelaki aku yang empat orang tulah agaknya. Takut aku jadi kasar macam jantan. Tapi, aku ni kategori lemah lembutlah juga sebagai gadis Melayu. Ahaks.
Kesian aku kan, tak dapat merasa kasih sayang daripada keluarga kandung. Sob… sob… sob. Sedih, kan?
Tapi sebenarnya aku tak rasa tersisih pun berada dalam keluarga ni. Emak dan ayah menatang aku macam minyak yang penuh. Bahkan aku rasa dalam ramai adik-beradik lain aku yang paling disayangi. Emak dan ayah melayan aku dengan penuh kasih sayang. Abang long aku, Farid namanya, dia ni paling aku sayang antara keempat-empat saudara lelaki aku. Daripada aku kecil lagi abang long selalu jadi pelindung. Maklumlah aku agak manja orangnya. Manja dan lembik. Pantang je kena usik mulalah aku menangis. Ciwek! Kata Nana, jiran sebaya aku yang berbangsa jawa tu.

4 comments: