Thursday 29 May 2014

Suara Hati Seorang Ikmal - Part 1





              Part 1

Lepas parkir kereta elok-elok aku buka pintu tempat duduk belakang, ambil beg berisi laptop dan sandang ke bahu. Dua buah beg kertas sederhana besar yang berisi coklat dan sedikit cenderahati untuk ‘anak-anak buah’ di department aku jinjit dengan kedua-dua tangan.

‘Hai… penatnya rasa badan ni!  Pak cik Jepun bos aku tu pun satu, aku nak cuti dia tak bagi… kalau sampai burn cuti tahunan aku tu nanti siaplah dia! Harus aku minta ganti rugi!’ aku mengomel dengan geram dan melangkahkan kaki ke pejabat yang telah sekian lama aku tinggalkan. 

Sampai di department aku tengok tempat masing-masing masih kosong tak berpenghuni. Masih ramai yang belum sampai ataupun mereka sedang bersarapan di kantin.

Nasib baik meja dan kerusi kerja aku masih ada di tempatnya. Kalau tak, tak tahulah kat mana aku nak duduk. Aku letak beg kertas bawah meja dan beg laptop aku letak atas kerusi. Masa ni aku dengar perut aku berbunyi, menandakan ia lapar. Okey, kena isi perut dulu sebelum memulakan kerja.

Masa aku keluar dari department nak turun ke kantin ada beberapa orang ‘budak’ department tegur aku, lepas bertegur sapa lebih kurang aku cepat-cepat mahu ke kantin. Rindu pulak nak makan makanan kat kantin, kononnyalah!

Lama dah tak makan mi kari mak cik kantin yang sedap tu. Ramainya orang yang sedang memilih makanan, apa nak buat… kalau aku nak tunggu orang tak ada memang tak payah makanlah jawabnya. Maka aku pun menyelitlah di kalangan mereka-mereka yang kebanyakannya perempuan tu. Terpaksalah.

Hai, sibuknya keadaan kat sini, kalah pasar malam. Bersimpang siur tangan masing-masing nak ambil makanan pilihan. Aku dah nampak mi kari dalam mangkuk yang bersusun di kaunter makanan tu. Sebenarnya aku dah terlajak ke depan ni, dekat dengan belanga berisi kuah mi kari.  

Ah, tak apalah boleh je aku capai mangkuk mi kari tu dari sini. Maka aku hulurkan tangan nak ambil semangkuk mi kari dan aku betul-betul terperanjat apabila tiba-tiba tangan aku terasa panas dan lengan kanan baju kemeja lengan panjang berwarna putih aku yang berjenama Timberland ni dah bertukar warna jingga.

Cepat-cepat aku tarik tangan apabila perempuan cemerkap tu nak lap dengan tisu. Apa punya perempuan la… tangan aku dengan mangkuk mi kari pun kau tak kenal! Panas satu hal, malu satu hal… dahlah baju aku ni tak murah harganya. Haish!

Aku terus berlalu dari kelompok manusia tu dan pantas aku kembali ke department dan tempat pertama yang wajib aku lawati… tandas!

Kurang asam betullah! Lain kali kalau rabun pakailah cermin mata macam aku ni ha! Aku buka butang lengan kemeja, lalukan bahagian yang terkena kotoran tu di bawah pancuran air paip. Aduh! Kotoran ni makin menjadi bertambah besar pulak kawasan jajahannya.

Oleh kerana tak ada orang maka aku pun bukalah baju kemeja ni. Nasib baik aku memang jenis suka pakai singlet. Kalau tak niaya je aku kena tayang badan kat sini. Sabun basuh tangan dalam bekas yang terlekat di dinding tu aku tekan dan mula sabunkan lengan baju aku yang kotor. Patut aku suruh perempuan tu je yang basuhkan baju aku ni, sebagai denda sebab sikap cemerkap dia yang menyusahkan aku ni!

Nak tak nak terpaksa juga aku pakai baju kemeja aku yang masih lembab lengannya ni. Tak larat dah aku nak berdiri dan keringkan kat pengering tangan tu. Jam pun dah dekat pukul 8 pagi. Waktu kerja dah nak bermula, aku minta staf buatkan air milo panas ajelah nanti. Kesian perut aku, makan angin jelah pagi ni.

Aku bagi Zuraini dua buah beg kertas yang aku bawa tadi. Pandai-pandailah dia agih-agihkan kepada yang lain cenderahati tak seberapa daripada aku tu. Penat otot muka aku pagi ni, senyum dan jawab sapaan daripada semua ‘anak-anak buah’ di sini. Alhamdulillah… kenal lagi dorang dengan aku. Mujurlah…
Habis morning briefing aku dah digamit oleh HOD, Mr. Matsumoto. Aku pamer senyum sambil capai planner atas meja. Masa untuk pembentangan pun bermula.

******************

Perghhhh… dekat dua jam barulah perbincangan antara aku dan Assistant Department Manager and above tu berakhir. Mr. Matsumoto chair the meeting

Aku nampak ada seorang gadis comel sedang duduk di tempat dudukku. Sengaja aku berjalan lambat-lambat agar kehadiranku tak disedari. Sambil tu aku mencuri masa untuk terus memandang gadis comel yang berkulit putih merah dan berambut panjang keperang-perangan. Siapa tu? Cantiknya dia!

“Ha… ni pun tuan dia dah balik!” Zuraini bersuara sambil pandang kat aku. Aku berdiri depan meja dan gadis comel tu pun ikut berdiri.  Aku perasan mata dia renung lengan baju kemeja aku yang dah kotor ni. Apalah dia ni, patutnya pandanglah muka aku yang handsome ni, lengan baju kemeja aku juga yang menarik perhatiannya. Apparaa

Errr… minta maaf, encik… fasal kejadian di kantin pagi tadi!” sambil cakap dia tuding lengan baju kemeja aku. Serta-merta mata aku pun pandang tempat yang sama. Oh, dia ni ke yang warnakan lengan baju aku ni pagi tadi? Kalau macam ni cantik orangnya harus aku suruh dia curahkan kuah mi kari tu kat lengan sebelah lagi. Rugi aku tak tengok muka dia pagi tadi. Suara dia, lemak merdu dan manja bunyinya. Aduh…

Nasib baik juga laptop aku buat hal. Tiba-tiba je ‘hang’ masa aku hidupkan pagi tadi. Banyak kali jugalah aku on dan offkan suisnya tu tak mahu juga dia bekerjasama. Rasa nak campak je dalam tong sampah. Nasib baik syarikat punya! Tu yang aku pesan kat Zuraini minta orang IT tolong periksa apa yang patut.

Aku bergerak dan berdiri di sebelah dia. Gadis comel ni hanya separas bahu aku, kecil molek orangnya. Lagi dia tundukkan pandangan lagi aku teringin nak pandang muka dia.

Muka dia bertukar menjadi merah apabila aku semakin rapat kepadanya. Dia langkahkan kaki dan menjauh sedikit. Takkan dia takut dengan aku? Aku tak sampai hati nak marah gadis secantik dia ni. Rugi kalau aku marah dia, yang aku tahu sekarang ni aku teringin nak beramah mesra dengan dia. Aku teringin nak kenal dia dengan lebih rapat lagi. Hati aku bergendang dengan perasaan yang manis dan indah sekarang ni. Siapa kau wahai gadis cantik yang comel dan manja?


“Bos, lawa kan?” Johan, Design Engineer tu cakap kat aku apabila dia perasan aku memerhatikan gadis bernama Intan Liyana tu berlalu pergi.

“Lawa! Hang kenal dia ke?” terpaksalah aku senyum kat Johan, akibat tertangkap basah asyik dok perati anak dara orang.

“Kenal! Tapi tak available la bos!” Johan cakap sambil buat muka kecewa. Hai, takkan dia pun nak try Intan Liyana tu jugak kut? Setahu aku dia dah ada awek yang bernama Anisah, engineer di Production Department tu.

“Dia dah ada seseorang…” Johan sambung cakap, dia datang dan berdiri rapat di sebelah meja aku. 

“Seseorang?” aku pun rasa tak sabar nak tahu. Aku kenal ke seseorang yang dimaksudkan oleh Johan ni.

“Ya, seseorang!” Johan senyum pulak. Aku kalih pandang depan dan gosok belakang leher. Teleng kepala aku pandang Johan tadi.

“Yelah… tapi siapa seseorang tu?” aku dah nak naik angin dah ni!

“Alah… nanti bos tahulah,” lepas cakap macam tu Johan sengih dan blah. Rasa nak sekeh je kepala dia. Dah mulakan cerita patutnya habiskanlah! Poyo!

*********************

Percaya tak? Aku sungguh terganggu dengan perbualan antara aku dengan Johan tadi. Otak aku ni macam diprogramkan pulak asyik nak fikir tentang ‘seseorang’ yang kononnya mempunyai hubungan dengan gadis comel tu. Siapa ya lelaki bertuah tu? Aku kenal ke?

Nasib baik hari ni aku cuma perlu menghadiri mesyuarat je. Nak buat kerja pun tak boleh sebab laptop aku dah diangkut gadis comel tu tadi. Aku menconteng di planner  ajelah. Kena buat plan untuk job akan datang. Aku rasa seminggu dua ni pasti banyak meeting aku kena hadiri. Adoi… peninglah!


Aku balik awal hari ni. Badan rasa nak demam je sejak sampai di Malaysia ni. Syarikat ni pun satu, suka campak aku pergi luar Negara lama-lama. Nasib baik aku ni takde anak bini, kut tak kesian dorang. Selalu kena tinggal dan merindui aku.

Sebaik melepasi pintu pagar aku nampak kelibat gadis comel tu sedang duduk di kerusi di luar kawasan syarikat. Walaupun aku tak nampak mukanya tapi pakaiannya aku cam. Cepat-cepat aku berhentikan kereta berhampiran dengan dia yang sedang khusyuk membaca buku di tangan.

“Cik Intan Liyana! Tunggu siapa?”  aku tegur dia dengan suara yang ceria. Memang aku ceria pun sebab tak sangka dapat jumpa dia sekali lagi hari ni. 

“Tung… tunggu.. Ka… kawan.” Tergagap-gagap dia menjawab. Memang jelas muka terperanjat dia apabila nampak aku. Tadi serius aku cakap, dia sangat comel dan menarik hati. Inilah agaknya bidadari yang aku tunggu selama hari ni. 

Aku bersandar di badan kereta. Intan Liyana yang comel ni berdiri dan kami berhadap-hadapan dalam jarak beberapa kaki.

“Balik mana?”

“Puchong Utama.” Dia jawab perlahan, suara dia manja dan merdu kedengaran di telinga aku. Inilah suara yang bakal menjadi halwa telinga aku hari-hari nanti agaknya. Hati aku tak putus-putus berharap agar dia ni masih belum berpunya. Aku dah jatuh hati… dah bergolek-golek ke tanah hati aku kala ini.

Aku dan dia sempat berbual sekejap sahaja apabila ada suara lelaki menegur dan memanggil dia dengan panggilan sayang. Aku toleh arah suara tu kedengaran dan alangkah terperanjatnya apabila aku nampak muka orang yang pernah jadi kawan baik aku sedang tersenyum pandang gadis comel depan aku ni.

“Eh, Ikmal! Bila balik?” tiba-tiba je jejaka a.k.a mat salih celup tu tegur aku. Siap hulur tangan dan kami bersalaman dan tepuk bahu masing-masing.

Aku macam tak percaya je si comel ni ‘berkawan’ dengan bekas kawan baik aku ni. Tak boleh jadi ni, serta merta perasaan aku jadi cemburu.

“Balik minggu lepas. Hari ni baru mula kerja. Ada kenangan manis dengan Cik Intan Liyana ni di kantin pagi tadi!” aku memang sengaja nak beritahu Ben yang aku dah jumpa Intan Liyana seawal pagi tadi di kantin. Lepas tu aku senyum dan kenyit mata kat Intan Liyana yang terpacak macam patung cendana.

Apabila Ben ajak Intan Liyana balik dengan dia aku pun terus masuk ke dalam kereta dan mula memandu. Tapi hati aku rasa terbuku, kenapa dan macam mana Intan Liyana boleh rapat dengan Ben? 

Mereka ada hubungan istimewa ke? Ben dan convert ke? Dia orang ada plan nak kahwin ke? Aku yakin Intan Liyana tu masih muda sangat lagi orangnya. Wajah dia yang comel dan manja tu memang keanak-anakan. Kalau aku tak tahu dia bekerja di sini tentu aku teka dia masih bersekolah.

Tapi kenapa dalam ramai-ramai lelaki di Malaysia ni dia boleh rapat dengan Ben? Arghhh… sungguh tak masuk akal!


Ini bukan manuskrip baharu. Cuma nak buat sedikit kisah daripada suara hati Ikmal. Kisah yang pendek. Jutaan terima kasih buat yang telah membaca novel DJIDU. Maaf atas segala kekurangan dan kekhilafan dalam dalam novel tersebut. Dan terima kasih buat yang sudi baca kisah Ikmal ini - part 1.







14 comments:

  1. oh..ksah ikmal plak.suke2

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kak Aisyah... hehe... cadangan daripada pembaca, lagipun dah lama tak up apa2 kat blog... kalau rajin akan disambung lagi... terima kasih sudi baca...

      Delete
  2. Replies
    1. Sis Nor Mustaqimah, idea daripada seorang pembaca... sebab saya pun dah lama tak update apa2 di blog... hehe

      Delete
  3. thumbs up! walaupon tk berapa suka ikmal.. hehe.. ^__^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cik Biarlah Blog Berbicara... hehehe... memang ramai tak suka Ikmal ni... sian dia....

      Delete
  4. Kisah Ikmal...ye..
    Apepun bab 1 pun dah best....
    Sambung cepat2 ye yunk

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kak Syahafiza, insya-Allah akan disambung secepat mungkin... terima kasih kak...

      Delete
  5. Yeay! Been waiting for ur next story. Ala...nape cite psl.mamat ni? Dlm DJIDU kita dh jatuh benci ngan dia la :-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cik Fara... next story sedang dikarang... hehe... kisah Ikmal ni permintaan pembaca yang nak tahu apa dalam hati Ikmal sebenarnya... ni saya habiskan kat blog je... mana tahu boleh mengurangkan rasa benci Cik Fara kat Ikmal... hehe...

      Delete
  6. Replies
    1. Terima kasih Sis Ayne Umairan... sudi baca dan tinggalkan komen...

      Delete