Monday 30 September 2013

Dah Jodoh I Dengan You - Bab 2





Bab 2

Aku cuci pinggan mangkuk dengan gaya kelembutan gadis Melayu. Kadang-kadang emak tegur cara aku basuh pinggan yang memang lama gila. Kata emak lama-lama retak pinggan tu terlampau digosok dengan span pencuci pinggan. Apa nak buat, waktu cuci pinggan mangkuklah aku biasanya berangan-angan. Macam automatik je otak aku ni menerawang ke mana-mana waktu aku sedang sibuk menggonyoh pinggan mangkuk dalam sinki ni. Dah jadi habitat, nak buat macam mana. Walaupun ada juga aku berniat untuk berubah. Kalau tak nanti ayah sound aku pulak, bil air naik tinggi.
Ah! Baru aku teringat! Kena cepat-cepat jerang air dan bancuh kopi. Emak dan ayah sedang berehat-rehat di ruang tamu tu. Inilah masa yang sesuai untuk aku menjalankan misi aku malam ni. Lepas isi air dalam cerek letrik aku petik suisnya. Pegang sekejap badan cerek tu sebab pernah beberapa kali aku terkena, jerang air berjam-jam tapi panasnya tidak. Pandai buat hal juga cerek antik ni!
Lepas siap bancuh seteko kopi aku susun cawan dan piring dalam dulang. Kemudian aku menapak ke ruang tamu dan tuangkan air kopi buat kedua-dua orang tuaku. Emak senyum pandang aku dan kemudian menepuk-nepuk sofa di sebelahnya. Tanda mahu aku duduk di situ. Emak tahu aku mahu berbincang dengan ayah.
Malam ni suasana agak dingin. Kalau ayah ada di rumah memang dia suka membuka tingkap kaca nako ini luas-luas. Agar angin nyaman dari luar dapat masuk ke dalam rumah. Maklumlah, rumah kampung kediaman kami ini tidak ada penghawa dingin. Ada tidak pun kipas angin elektrik itu sahajalah yang kami gunakan ketika kepanasan di waktu siang mahupun malam hari.
Rambut keperang-perangan milik aku yang panjang separas bahu aku ikat ekor kuda. Bukan orang lain sahaja yang pelik dengan rambut perang aku ni, aku sendiri pun pelik. Nak kata ada keturunan mat salih tak ada pulak. Kata emak tak ada keturunan keluarga kami yang kahwin campur, jadi aku selalu je dituduh mengada-ada sengaja warnakan rambut. Apa aku ni kurang kerja sangat ke sampai nak warna-warna rambut segala?
“Ayah, Yana ada hal nak bincang dengan ayah dan emak.” Aku mulakan bicara dengan sesopan mungkin. Ayah yang sedari tadi memandang keluar tingkap berkalih pandang ke wajahku. Sesekali kedengaran bunyi batuk-batuk kecil ayah.
“Bincang fasal apa?” tangan ayah mencapai cawan dan kemudian ayah menghirup air kopi dengan penuh nikmat. Memang air kopi merupakan minuman kegemaran ayah. Tak pernah pun aku nampak ayah minum air milo ataupun ovaltine yang jadi kegemaran Fairul tu.
“Ayah…” ishk… masa aku nak bercakap nilah cengkerik pun sibuk nak berbunyi. Terbantut sekejap niat aku nak meneruskan kata-kata.
Hemm… ada apa?” suara garau ayah menampar gegendang telinga.
“Yana dengan Naz cadang nak ke Puchong. Ada kilang di sana panggil temuduga… boleh ya ayah? Emak?” elok-elok aku habiskan ayat mata kedua-dua orang tua tu  dah pandang aku. Tepat lagi jitu. Rasa menggigil jugalah badan aku ni.
“Kenapa nak kerja jauh-jauh? Kerja kat tadika tu kan dah elok sementara nak sambung belajar?” tanya ayah. Memang aku ada niat nak sambung pelajaran ke peringkat ijazah. Tetapi entah kenapa dekat-dekat nak habis belajar aku ubah fikiran pula. Yang bestnya aku tak apply pun untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana. Bijak kan aku ni?
“Belum dapat sambung kat mana-mana.” Aku bohong sebab aku takut. Kalau fasal pelajaran ayah memang tegas. Tengoklah si Fairul tu, gara-gara malas ke sekolah agama dia kena balun cukup-cukup dengan ayah. Kata ayah kalau tak pergi sekolah agama nanti tak jadi orang. Entahlah, mujur aku belum nampak lagi budak-budak sekolah rendah di kampung ni bertukar jadi benda lain. Masih aje rupa orang budak-budak tu semua.
“Yana dah fikir masak-masak? Abang long tahu? Bukan dia pesan sambung belajar ke?” emak soal aku dengan lembut. Aku kuis-kuis permaidani yang dah nak lusuh di ruang tamu ni. Ayah diam, yang aku dengar cuma bunyi batuk ayah yang bersambung-sambung. Nampaknya esok aku kena belikan ayah ubat batuk ni. Jenama apa yang berkesan ek?
“Daripada Yana terperuk je kat kampung ni biarlah Yana kerja kat bandar ya mak, ayah? Timba pengalaman kerja di luar. Untung-untung dapat juga bantu adik-adik sementara abang long belum balik. Kalau abang long dah balik nanti Yana akan sambung belajar… insya-Allah.” Bersungguh-sungguh aku bercakap dan berjanji. Kalah ketua belia yang baca ikrar masa sambutan Hari Belia Negara.
Suasana sunyi seketika. Yang kedengaran hanyalah bunyi cengkerik. Entahlah cengkerik yang tadi ke yang lain. Aku tak putus-putus berdoa dalam hati agar permintaanku ini diperkenankan. Ceh! Dah macam nak minta perkenan Agong pulak dah, tapi memanglah, kedua-dua orang tua aku ni ibarat macam Agong jugalah pada aku.
Aku  teringin sangat nak membantu ekonomi keluarga dan paling aku teringin adalah nak pegang duit sendiri. Bila tiba masa yang sesuai nanti aku akan sambung pelajaran aku, insya-Allah. Itu janji aku untuk diri sendiri.
“Ayah bukan nak halang keinginan Yana, tapi alam pekerjaan ni bukan mudah Yana. Banyak politiknya, banyak tendang terajangnya. Ayah takut Yana tak tahan. Lagipun dengan diploma tu apa jawatan yang Yana boleh sandang? Tak ke susah dan berat kerjanya nanti?” di hati tua ayah pasti dia risau mahu melepaskan aku berhijrah ke tempat lain. Tapi apa pula gunanya ayah melarang? Apa faedahnya segulung diploma yang aku dapat sekiranya aku tidak memanfaatkannya bagi mendapatkan sebarang pekerjaan. Itu yang bermain dalam fikiran aku ketika ini.
“Jaga diri di tempat orang. Kalau rasa susah dan tak sesuai, balik ke mari. Di sini pun banyak peluang pekerjaan. Kat Bandar Temerloh tu pun ada banyak pejabat dan pusat perniagaan. Boleh je cari kerja dekat-dekat sini kalau Yana mahu” dalam pada mengeluarkan ayat memberi kebenaran ayah kenen juga kalau-kalau aku mahu bekerja di daerah kelahiran aku ni aje.
“Yana cuba dulu kerja di sana ya ayah… kalau tak sesuai Yana janji, Yana akan balik ke sini.” Aku buat janji lagi buat kesekian kalinya. Aku tak kisah walaupun ayah suruh aku tulis surat perjanjian ataupun berikrar dan buat tangan ala-ala askar sedang tabik tu. Janji, misi aku untuk berhijrah ke Puchong dengan Naz terlaksana.
Selepas itu bermulalah sesi nasihat menasihat daripada emak dan ayah. Berduet mereka menasihati aku. Yang mampu aku lakukan hanyalah anggukkan kepala. Gila nak menggeleng masa-masa macam ni? Kalau berani cubalah buat. Memang memerap kat kampung ajelah aku jawabnya.
Lepas dapat je lampu hijau daripada emak dan ayah aku mula mengemaskan barang-barang keperluan ke dalam beg. Banyak juga baju-baju yang aku sumbatkan dalam beg besar tu. Gaya aku bawak barang ni dah macam tak nak balik sini dah. Apa tidaknya, kalau boleh semua aku nak bawa. Kalau almari pakaian tu muat dalam beg ni memang aku angkut sekali.
Akhirnya aku sedar yang aku dan Naz akan ke Kuala Lumpur menaiki bas ekspres sahaja dan bukannya lori satu tan. Maka aku pun cuba kurangkan dan keluarkan semula baju-baju yang dah aku sumbatkan dalam beg tadi. Kenalah pilih betul-betul.
Aku isi juga beberapa buah buku dalam beg sandang yang berisi laptop. Buku ni dah jadi macam makanan ruji aku. Aku boleh habiskan masa berjam-jam dengan membaca buku. Kalaulah aku ni ulat buku semenjak aku kecik lagi gerenti keputusan peperiksaan aku cemerlang, gemilang dan terbilang.
Lagipun bukannya jauh sangat Puchong dengan Temerloh ni. Bila-bila masa sahaja aku boleh balik dan angkut lagi barang-barang aku ni kalau aku dah serasi bekerja di sana nanti. Aku pujuk hati sendiri dan mula menyusun baju-baju yang lain ke dalam almari. Buat permulaan ni bawa sikit-sikitlah dulu.

4 comments:

  1. bermula lh era hijrah dlm hidup yana...jeng..jeng..jeng....

    ReplyDelete
  2. Jeng... jeng... jeng... Nantikan kisah seterusnya...

    ReplyDelete
  3. oh..nk cr pengalaman br la ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hrmmm Cik Aisyah... nak mencari rezeki di tempat orang...

      Delete