Thursday 5 February 2015

Suara Hati Seorang Ikmal - Part 8









Part 8


Apa rasanya kalau orang yang kita suka; tak pandang sebelah mata pun kat kita? Grrr... geram! Itulah yang aku rasa kini. Sesungguhnya aku rasa sangat cemburu terhadap Benjamin. Kenapalah dalam berjuta-juta lelaki di Malaysia ni Yana boleh rapat dengan Benjamin? Kenapa? Kenapa? Kenapa?


Aku letak tangan atas stereng kereta. Lepas tundukkan kepala beberapa ketika aku mendongak dan bersandar pada tempat duduk. Bangun pagi ni kepala aku rasa pening. Natijah daripada tak cukup tidurlah ni. Dahlah kerja banyak, sampai aku kena bawa balik kerja ke rumah. Apabila aku cuba nak lelapkan mata bayangan wajah Intan Liyana tu pulak menari-nari depan mata. Kalau setakat bayangan dia seorang aku tak kisah. Semalaman aku sanggup berjaga, tapi kenapa mesti ada mamat tu sama? Potong sungguhlah!

Aku sengaja tunggu dalam kereta sebab nak tengok dia orang. Arghhh... mesranya mereka berjalan bergandingan sambil berbual-bual. Menyampahnya aku tengok muka Benjamin yang bersinar dan bercahaya macam bulan penuh tu! 

‘Yana...! sampai hati Yana tak layan panggilan dan mesej abang! Kalau Yana fikir dengan menyombong macam ni abang akan mengalah Yana memang silap! Abang memang sukakan cabaran. Lebih susah hendak memikat Yana, lebih kuat abang akan berusaha. The best man win Yana!’

Aku melangkah perlahan keluar dari kereta. Jadilah dapat menatap wajah dia walaupun dari kejauhan. Cukuplah untuk meleraikan rindu yang sarat di hati aku ni.


“Selamat pagi bos!” Zuraini senyum bukan main lebar apabila nampak aku. Ishk... kalaulah Zuraini ni ialah Yana, kan bagus?

“Selamat pagi Zu... dah sarapan?” eh, aku tertanya pulak sama ada dia dah sarapan ataupun belum. Jam di tangan aku kerling. Ada lagi sepuluh minit sebelum waktu kerja bermula. Jangan Zuraini ingat aku nak ajak dia bersarapan sama sudahlah. Baik aku makan angin je daripada aku pergi makan dengan staf aku ni. Kat sini kena hati-hati, silap gaya kena gosip pulak. Tapi kalau digosipkan dengan Yana tu, aku rela je!

“Dah makan dengan Dina kat kantin...” fuh... lega aku dengar jawapan balas daripada Zuraini.

“Encik Ikmal nak saya buatkan air?” Zuraini menawarkan diri. Biasanya kakak tea lady tu yang buatkan air minuman untuk aku dan bos-bos yang lain di sini. Tapi hari ni tak ada pun muk atas meja. Takkan sebab aku jarang habiskan air minuman yang dia buat maka dia tak nak buatkan air dah untuk aku? Bukannya apa, kadang-kadang aku pergi minum air di kantin tu. Nak juga ubah selera, kan? 

“Err... akak tea lady tu cuti ke?” aku tanya Zuraini yang pandang aku macam tak berkelip mata.  Ni yang buat aku perasan handsome tahap gaban ni! Bingkai cermin mata Bum aku betulkan kedudukannya.

“Cuti! Saya boleh buatkan air minuman kalau Encik Ikmal nak!” lagi sekali Zuraini menawarkan diri. Aku gelengkan kepala. Tak mahu menyusahkan dia. Air mineral kan ada. Lagipun aku takut kalau dia jampi air minuman tu nanti. Aku tak naklah gilakan dia pulak sebab hati aku ni tengah gilakan Intan Liyana tu.

“Zu!” aku panggil sebaik dia berpaling dan mahu kembali ke tempatnya. 

“Saya Encik Ikmal!” kejap bos, kejap Encik Ikmal. Tak konsisten betul budak ni!

“Duduk kejap!” tak dan habis aku bercakap dia dah duduk atas kerusi di depan aku. Makin lebar senyum dia aku tengok.

“Saya selalu nampak Zu makan dengan Yana, budak IT tu... Zu kenal rapat dengan dia?” aku mulakan mukadimah dengan harapan dapat melanjutkan beberapa soalan dan mendapat sedikit info.

“Bolehlah dikatakan rapat, selalu jumpa kat surau... dia pun rajin senyum. Kami bertegur sapa dan lama-lama boleh jadi kawan,”

Aku anggukkan kepala dengar kata-kata Zuraini. Aku akui, Yana tu memang rajin melemparkan senyuman. Pada aku, dia tak senyum pun dah memikat hati tambah lagi apabila dia senyum. Berdebuk-debuk hati aku jatuh ke bawah.

“Dia dengan Mr. Benjamin tu ada apa-apa ke?” aku cuba sedaya upaya buat intonasi biasa. Tak nak terkesan yang aku cemburu sebenarnya.

“Ada apa-apa?” Zuraini kerut dahi. Alah dia ni! Janganlah buat tak faham pulak!

“Ada hubungan istimewa ke?” aku kena juga cakap direct nampaknya! Hish!

“Kalau tanya Yana mesti dia menafikan. Tapi... boleh nampaklah yang Mr. Benjamin tu sukakan Yana. Kalau tak takkan 24 jam dia orang asyik bersama je!” tanpa bertapis Zuraini menjawab. 24 jam bersama? Tak ke melampau kenyataan tu?

“Err... kenapa bos tanya?” nampak takut-takut je masa dia tanya aku soalan ni. Aku senyum.

“Ada orang tanya saya, dia nak tahu...” aku belasah je jawab macam ni. Tapi aku rasa macam Zuraini tak percaya je. Mesti dia tuduh aku yang nak tahu, kan? Eh, tak kisahlah apa yang dia fikir. Yang aku dapat tangkap adalah memang Si Benjamin tu ada hati dengan Yana. Kalau Zuraini pun boleh nampak apalagi aku! Aku lebih faham hati lelaki! Huh...! ingat senang-senang aku nak bagi kau menang Benjamin? Kau tengoklah nanti!

“Kalau tak ada apa-apa saya minta diri dululah bos!” Zuraini terus bangun apabila aku anggukkan kepala. Minta diri konon! Tempat dia dengan tempat aku tak sampai sepelaung pun jauhnya. Erm...


Kenapa aku jadi macam ni ya? Gila bayang?! Dalam fikiran aku hanya ada figura dia. Siang dan malam aku asyik terkenangkan dia. Rindu...! Itu yang aku rasakan kini apabila aku tidak lagi dapat mendengar suara lunak dan manja miliknya.

Aku cuba menelefon dia, banyak kali... tapi tak pernah dijawabnya. Kalau aku mesej dan tanya khabar dia, daripada sepuluh mesej yang aku hantar satu je yang dia jawab. Tu pun tak sampai lima patah perkataan. Sampai hati dia.

Pernah aku saja gatal tangan mendail nombor telefon dia ketika dia sedang makan dengan Benjamin di kedai mamak di U Garden tu. Boleh dia bolayan dan campak handphone dia dalam beg tangan? Tak ke melampau tu? Kalau aku tak nampak lain cerita, ni depan mata aku kut!

Kalau tak mengenangkan membomohkan orang tu berdosa dan termasuk dalam perbuatan syirik lama dah aku mandrem budak Intan Liyana ni. Aku nak buat bukan sahaja dia lupakan Si Benjamin tak guna tu malahan aku nak buat sampai dia lupa dirinya sendiri.  Biar dia nampak muka aku je 24 jam, biar dia sayang dan cintakan aku je sepanjang hidup dia. Tapi, aku masih waras dan beriman lagi... alhamdulillah!


Pap! Bahuku ditepuk dari belakang. Kuat pulak tu, menyeringai muka aku menahan sakit. Aku toleh sebelah dan nampak muka Faridzul yang tersengih tengok muka aku. Memang ciss betullah dia ni!

“Kau tak reti bagi salam ke? Main kasar kau ya! Kalau aku kena heart attack tadi macam mana?” aku tunjuk muka marah kat Faridzul. Boleh dia bantai senyum je? Mental ke kawan aku ni?

“Takkan kena heart attack kalau pujaan hati ada kat sini!” Faridzul angkat-angkat kening pandang aku.

“Pujaan hati? Siapa?” aku tanya sesungguh hati, boleh dia sambung senyum? 

Seketika aku teringat, ‘pujaan hati?’ Intan Liyana ke? “Mana?” spontan aku tanya dan terus melingaskan pandangan.

“Sudah tahu lagi bertanya, sudah terang lagi bersuluh... jangan kata kau tak nampak dia... lama dah dia duduk kat situ, pesal kau tak join?” 

Terkebil-kebil aku dibuatnya. Kalau aku tahu dia sedang minum petang dengan Wahida di meja sebelah sana tu lama dah aku pergi tumpang sekaki. Ruginya.

Aku baru berura-ura nak bangun dan join Yana dengan Wahida apabila Si Benjamin tu datang. Cisss... 

“Kau lambatlah! Kekasih hati dia dah datang!” Ishk Faridzul ni, tak payahlah cakap macam ni. Aku nampak je Benjamin tu datang dan menyertai anak dara dua orang di meja tu, tak payahlah dia nak mengulas pulak. Dahlah mata aku sakit, hati aku lagilah bertambah sakit apabila Yana hulurkan piring berisi kuih yang dia sedang makan tu ke depan Benjamin. Lagi kurang ajar apabila Benjamin tu selamba je menyisip air minuman dari cawan Yana. Walaupun aku nampak Yana cuba melarang Benjamin minum daripada cawan itu tapi mamat tu selamba je minum. Siap tepis-tepis manja tangan Yana pulak tu. Bencinya...!

Aku pandang jam tangan yang menunjukkan angka enam petang. Aku dah nak balik sebenarnya, tapi aku ambil keputusan nak duduk di kantin sekejap dan minum. Memang tak sangka mata aku ni nak dijamu dengan gelagat dua orang tu. Wahida tu lepas Benjamin duduk seketika dia terus bangun. Tinggallah dia orang berdua, berbual sambil bergelak ketawa. Sumpah, aku cemburu tahap maksimum dah ni... err... tahap infiniti!

“Nak baliklah!” aku letak cawan yang dah kosong atas meja.

“Rilek la dulu... balik awal pun bukan ada orang tunggu kau kat rumah, lainlah macam aku!” Faridzul pamer senyum mengejek.

“Sapa kata aku nak terus balik rumah?” aku angkat kening dan pandang dia dengan muka eksen.

“Habis tu kau nak pergi mana?” eh, menyibuk pulak dia nak tahu aktiviti aku.

“Dating!” aku saja cakap macam ni supaya taklah nampak sangat macam aku ni teruna kesepian.

“Dating?” Faridzul ulang ayat aku tadi dengan muka terkejut. Aku angkat kedua-dua kening.

“Patutlah budak tu bolayan kat kau... dah ada marka rupanya. Dasar buaya tembaga!” Faridzul kutuk aku.

“Sementara bujang ni apa salahnya berkawan. Masa nilah kita kena menilai dan membuat pilihan. Takkan nak main tangkap muat je... nak hidup bersama seumur hidup, bukan sehari dua!” aku saja cakap macam ni, konon nak tunjuk aku terer. Hakikatnya, aku tak pernah teringin nak menjalinkan hubungan serius dengan mana-mana perempuan lepas aku tinggalkan bumi Uncle Sam. 

Intan Liyana! Dialah satu-satunya yang berjaya menarik perhatian aku. Kenapa ya, hati aku memilih dia dalam sekian ramai orang lain yang berada di sini? Dia bukanlah yang paling cantik jelita di sini, cuma sikap manja dan kebudak-budakan dia tu buatkan dia nampak comel. Aku suka perempuan jenis macam tu!

“Hidup sentiasa ada pilihan bro... kalau tak sesuai sentiasa ada jalan keluar. Lelaki, khalifah yang diciptakan oleh Allah SWT untuk menjadi pemimpin. Juga ada keistimewaan untuk berkahwin lebih dari satu!” Faridzul senyum senget pandang aku. Eh, dia ada hati nak kahwin lagi ke? 

“Kahwin lebih dari satu bukan impian aku... itu tak setia namanya. Lagipun kalau berkahwin hanya berlandaskan nafsu dan ikut hati... mati nanti bro! Setiap perbuatan akan dihisab di sana nanti. Aku tak nak sengsara, dahlah dosa yang ada pun aku tak larat nak pikul dah!” aku cakap terus-terang. 

Dalam keseluruhan keturunan keluarga aku di kedua-dua belah pihak, belum ada yang menduakan isteri. Arwah datuk aku yang kaya raya tu pun satu je isteri dia, hidup pun harmoni sampai hujung nyawa. Aku pun nak macam tu. Lebih-lebih lagi kalau Intan Liyana yang jadi isteri aku nanti. Aku janji takkan pandang perempuan lain lagi dah!

“Kolot juga kau ni ya! Ingatkan lelaki macam kau ni terbuka orangnya!” Faridzul sambung kutuk aku.

“Terbuka ke tertutup ke... itu memang prinsip aku. Sebab aku lelaki penyayang yang setia!” aku cakap dan lepas tu gelak. Faridzul gelengkan kepala sambil tunjuk muka tak percaya dengan kenyataan aku. Lantak dialah!


Lama rupanya saya tak update apa-apa di blog ini. Terima kasih saya ucapkan buat yang sudi membaca dan menjengah blog ini. Saya akan cuba mencuri masa untuk selalu update blog ini nanti. Insya-Allah.

12 comments:

  1. Sedap je ikhmal ni fikir smpi nk bomohkn..hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nasib baik masih beriman Si Ikmal tu Kak Aisyah... hehe

      Delete
  2. Replies
    1. Insya-Allah akan disambung nanti Sis Wafaa... thanks sudi baca...

      Delete
  3. suka, lagi lagi si ikmal awak letak si nazim jd hero! sesuai sangat...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sis Hannah Safiyah... itulah fasalnya... kita pun suka nengok Nazim tu... kekeke...thanks ya sudi baca dan tinggalkan komen...

      Delete
  4. Xde smbgn lg ke. Best la. Nk lg

    ReplyDelete
    Replies
    1. Miss Zairin reen - insya-Allah, nanti saya sambung ya.

      Delete
  5. Sambung please...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Miss Anonymous - nak sambung ke? Hehehe... insya-Allah, nanti saya sambung.

      Delete
  6. Wow...semua best karya Ain...akak suka
    Tahniah!..jadikan akak bagai pungguk rindukan bulan...menanti seterusnya...heeehee.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kak Norah Maya, terima kasih kak sebab suka baca karya ain di sini. Insya-Allah nanti ain sambung ya. Tqtqtqtq...

      Delete