Saturday 5 July 2014

Suara Hati Seorang Ikmal - Part 5






Part 5


“Ma, dekat mana rumah pak lang tu? Mal dah pening ni, asyik pusing jalan yang sama je dari tadi!” betullah kata orang, GPS ni bukan hanya membawa maksud Global Positioning System tapi ada maksud kedua, iaitu Guna Pun Sesat!

“Manalah mama ingat jalan nak ke rumahnya, tapi rumah dia mama ingat la... rumah anjung papan, besar rumah dia... memanjang ke belakang!” adoyai, macam tak membantu je informasi yang mama bagi ni! Sabar jelah!


********************

Arghhh... akhirnya sampai juga kami ke rumah Pak Lang Mat ni. Aku tutup pintu kereta dan angkat kedua-dua tangan, mengeliat dan membetul-betulkan urat saraf. Walaupun perjalanan ni tak jauh namun lenguh jugalah badan aku, nak-nak masa aku sesat barat mencari rumah pak lang ni tadi. Berpeluh jugalah dibuatnya.

Betullah kata mama, rumah pak lang ni memanjang ke belakang. Nyaris nak terkeluar anak tekak mama dan Kak Intan memberi salam, haram berjawab. Tapi pintu dan tingkap terbuka pulak tu. Tak bahaya ke? Tak jaga keselamatan langsunglah dia orang ni. Ke memang biasa kat kampung macam ni? Semua orang kat kampung ni baik-baik belaka agaknya. Tak ada pencuri, perompak ataupun penyamun kut.

Hrm... dah kena menapak ke dapurlah pulak. Patut pak lang letak loceng kat depan pintu rumah dia tu. Barulah dia tahu ada tetamu berkunjung ke rumah.

Sementara mama dan Kak Intan memanggil tuan rumah aku pulak sibuk memerhati sekeliling. Banyak pokok buah-buahan ditanam di sekitar rumah. Kat depan rumah tadi ada sepohon pokok rambutan gading yang sudah masak buahnya. Rambutan antara buah yang menjadi favourite aku. Kejap lagi aku nak pergi kait buah rambutan tu.

Akhirnya... terjengul pun tuan rumah di muka pintu dapur. Mama dan mak lang saling berpelukan dan bertanyakan khabar masing-masing. Lepas tu Kak Intan pulak ambil giliran dan last sekali barulah aku dapat bersalaman dengan isteri kepada ayah saudara aku ni.

What a pleasant surprise! Pujaan hati aku pun ada di sini rupanya! Aku memang separa ternganga dah ni. Muka dia pun terperanjat apabila nampak aku. Ya-Allah, memang tak sangkalah... mudahnya aku bertemu dengan dia di sini. Wajib aku buat sujud syukur ni. Memang Allah SWT lorongkan aku jalan untuk mendekati dia agaknya. Amin...


********************

Pujaan hati aku tu bergandingan dengan Salleh mengangkat dan menghidangkan minum petang.  Aku nampak tangan dia menggigil. Dia tuang air ke dalam cawan dan Salleh agihkan kepada setiap seorang daripada kami. 

Manis muka dia ajak mama dan Kak Intan menikmati hidangan tapi dengan aku... huh! Boleh dia tarik balik senyum sebaik sahaja mata kami bertatapan. Sentap aku!

Dia berlalu ke dapur sambil membawa dulang kosong, Salleh ambil tempat di sebelah aku. Pak Lang Mat pun ada, dia balik 5 minit selepas kami sampai tadi.

“Rumah Yana jauh ke dari sini?” aku buka perbualan. Dan-dan aku rasa semua mata dipanahkan ke muka aku. Eh, aku salah cakap ke?

“Kenal Yana ke?” cepat je Salleh tanya aku.

“Kenal... abang satu tempat kerja dengan dia... erm, sebab dialah abang ke sini!” baik aku cakap terus terang je. Bukan aku tak nampak senyum manis yang selalu Salleh hadiahkan kat Yana apabila mata mereka berpandangan. Aku taklah bodoh sangat sampai tak boleh nak tafsir makna pandangan dan senyuman Salleh tu. 

Hiii... ingatkan Ben seorang je langau yang harus aku hapuskan. Tak sangka pulak kat sini pun ada. Tapi langau kecik ni senang je aku nak hapuskan. Aku tenyeh-tenyeh je dia ni, habis cerita!

“Itu ke orangnya?” mama tanya aku dengan muka teruja. Mama ni pun satu, kan aku dah tunjuk dia gambar si comel pujaan hati aku tu kat dia? Boleh buat-buat tanya pulak

Aku anggukkan kepala sebagai menjawab soalan mama.  Aku kerling orang sebelah aku sekilas dan aku nampak air muka dia berubah!

“Lainnya rupa dia! Dalam gambar tu cantik, ni apabila tengok orangnya lagilah cantik... patutlah Mal angau...” mama cakap tanpa memikirkan orang-orang lain yang mendengar. 

“Apa cerita ni? Mal kenal Yana?” mak lang tanya dengan nada ingin tahu.

“Bakal menantu saya tu alang!” dengan nada teruja mama beritahu.

Haaa???” ternganga mak lang dibuatnya. Pak lang pun aku tengok agak terkejut dengan kenyataan yang keluar daripada mulut mama. Kali ni aku dah tak nak pandang orang sebelah aku ni. Mana tahu dia bertukar jadi naga Merlin dan sembur aku dengan api, niaya je aku rentung sebelum aku dapat kahwin dengan si comel tu. Rugi... rugi...

“Siapa dia dengan alang?” mama mula bertanya. Memang terbaiklah mama ni. Tak sia-sia aku lobi mama untuk datang ke mari. Terus mama mainkan peranan dia.

“Anak sedara alang tu, arwah emak dia tu adik alang!” 

“Ohhh... dah tak ada emak?” mama sambung tanya, muka simpati dipamer.

“Anak yatim-piatu tu sebenarnya. Anak tunggal. Daripada kecil dibela oleh adik alang yang seorang lagi. Dibesarkan dengan empat orang sepupu lelaki, dah macam adik-beradik la kiranya!” mak lang terus berkisah.

Tapi... dibesarkan dengan empat orang sepupu lelaki? Hai... ni yang tak best! Jangan ada pulak yang menaruh hati kat dia, letih la aku nak berperang dengan lelaki-lelaki yang sukakan dia ni. 

Tapi tak apa, aku anggap semua  ni sebagai cabaran untuk mendapatkan dia. Aku akan berusaha bersungguh-sungguh demi mendapatkan dia. Aku akan pastikan, dia jadi milik aku!

“Tak sangka pulak Yana tu dah nak berkahwin... setahu saya dia kerja tu sementara je, abang sulung dia balik dari Ireland nanti dia nak sambung belajar!” Pak lang pula bersuara. Oh... ini satu lagi informasi penting yang aku tahu.

“Abang sulung dia tu studi ke di Ireland pak lang?” aku memang tak tahu apa-apa fasal latar belakang si comel ni. Jangan dia orang soal siasat aku lebih-lebih dahlah, harus kantoi aku nanti.

“Haah, studi nak jadi doktor... dia sayang sangat dengan Yana tu. Daripada kecil lagi dia dah kawal Si Yana tu...” pak lang jawab soalan aku. Hati aku dah rasa lain macam dah ni. Abang dia tu ada hati kat Yana ke? Haish!

“Dia orang tu adik-beradik susuan... bukan boleh kahwin pun!” masa mak lang cakap macam ni aku rasa nak melompat dah. Alhamdulillah... terbang kerisauan yang melanda hati aku ni.

“Maksudnya Abang Mal dengan dia serius?” Salleh pun ikut menyampuk, bertanyakan aku soalan. 

“Ya, serius... abang dengan dia, errr...” aku jawab dengan yakin, cuma aku segan nak sebut perkataan ‘bercinta’. Cuma tangan aku gawangkan dan buat gaya macam kami rapat. Tapi aku rasa dia faham. Jadi, jangan cuba-cuba nak tackle pujaan hati aku tu ya!

“Pelik juga tu... masa kat sekolah dan universiti ramai cuba pikat dia, tapi dia memang tak layan. Tak sangka pulak dia dengan Abang Mal... err...” Salleh pun tak tergamak nak sebut perkataan ‘bercinta’ agaknya. Aku angguk kepala sebagai jawapan, siap senyum dengan penuh keyakinan.

“Itulah kata orang tua-tua, kalau dah jodoh tak kemana... kalau betullah mak lang tumpang seronok. Alhamdulillah, kalau Yana kahwin dengan Ikmal, mak lang memang sokong seratus peratus!” wah, mak lang ni memang terbaiklah!

“Mal nak ke tandas kejap... minta diri dulu ya!” aku berbahasa. Rindu nak pandang muka si dia tu sebenarnya. Baik aku pergi skodeng dia kat dapur tu.


**********************

Aku sengaja ke Restoran Mamak 24 jam pagi ni semata-mata nak tengok dia. Tapi aku hampa sebab dia tak ada. Ni aku dah sampai tempat kerja. Kereta Ben aku tak nampak pulak di tempat parkir.

Gila betul! Sanggup aku melangkahkan kaki ke kantin hanya semata-mata nak mengintai, kut-kut dia ada di sini. Tapi, berbaloi beb! Aku nampak dia sedang bersarapan, erm... tapi apa dua orang kakak production tu buat duduk depan dia? Macam sedang beri ceramah je Kak Eton tu? Nak kata dia sedang bercakap dengan kawan sebelah dia mata dia pulak pandang kat Yana. Eh, dia buli pujaan hati aku ke? Tak boleh jadi ni!

Aku ambil air dulu. Walaupun aku dah bersarapan di Restoran Mamak tu tadi aku kena juga minum di sini. Takkan nak duduk sebelah dia saja-saja je. Nampak sangat aku nak mengurat dia. Gengsi kena jaga jugak!

Aku letak cawan air atas meja dan tarik kerusi sebelah dia. Hairan pulak aku, kakak berdua tu cepat-cepat blah walaupun aku nampak atas pinggan mereka masih ada berbaki separuh lagi makanan.  Hati aku pantas meneka, memang dia tengah cakap sesuatu kat Yana.

Mata kami bertatapan seketika apabila dia menoleh ke arah aku, senyuman manis aku hadiahkan buat dia. Sardin je muka dia, apakah aku ni kelihatan macam replika je pada dia?

Dia memang hot sangat kat aku la ni. Sampai tak berapa nak bercakap walaupun aku tanya dia macam-macam. Alah, takkan fasal aku kidnapped dan bawa dia makan di Bandar Temerloh tu dia marah sangat? Dahlah dalam kereta masa balik ke sini semalam dia bolayan je kat aku. Sakit hati aku tau!

“Saya minta diri dulu Encik Ikmal!” dia cakap sambil bangun dan meninggalkan aku termangu-mangu di sini. Ikut hati nak je aku tarik tangan dia dan suruh dia duduk semula. Tapi muka dia yang tak ceria tu membantutkan hasrat aku. 

Aku hirup air nescafe dalam cawan dan pandang depan. Dina baru sudah bayar makanan dan aku gamit dia. Kawan baik dia Si Zuraini tu tak nampak pulak. Puasa kut.

“Selamat pagi Encik Ikmal! Sorang je?” dia letak pinggan dan cawan kat depan aku. 

“Taklah, I berdua...”

“Berdua? Dengan siapa?” dia tanya dengan muka hairan dan duduk depan aku.

“Dengan youlah!” 

“Ha ha ha... kira buat lawak la ni?” Dina gelak buat-buat. Pagi-pagi dah propa dengan aku.

“Zu mana?”

“Cuti kan?”

“Ya ke?”

Aik, bukan Encik Ikmal ke yang sain borang cuti dia?”

“Tak perasanlah...” manalah aku nak ingat. Bukan borang cuti dia je aku sain. Banyak dokumen lain pun aku kena sain. 

“Mr. Ben pun cuti!” Oh, betullah kata Yana tadi.

“Cuti? Kenapa? Berapa lama?” aku memang berminat sangat nak tahu.

Fly to Melbourne, daddy dia kena cardiac arrest.”

“Oh? So lamalah dia di sana?” erm, bagus, bagus... tak balik terus pun tak apa! Bukanlah aku suka daddy dia sakit, aku ni pun manusia yang ada hati dan perasaan. Kesian juga kat dia tapi lebih afdal kalau dia terus pindah dan kerja kat sana, kan? Bukankah famili dia memang menetap di sana. Tak payahlah menyemak kat Malaysia ni!

“Kesian Yana,”

“Kenapa?” aku buat tanya soalan bodoh.

Yelah, Mr. Ben tu kan macam nyawa dia... pergi kerja sama-sama, balik kerja sama-sama... mesti dia sedih Mr. Ben tak ada.” Sambil cakap sambil suap. Efisien Dina ni.

“Ye ke?” aku pun dah macam takde modal nak menjawab. Tapi percayalah, hati aku gembira sangat dengan perkhabaran ni. Aku yakin sangat Ben tak akan kembali dalam waktu yang terdekat. Dia anak tunggal lelaki, pewaris keluarganya. Aku pun tak faham, kenapa dia masih belum terbuka hati nak berhijrah ke Melbourne buat selamanya.

Daddy dia punya syarikat yang besar. Bermacam jenis perniagaan dan perusahaan yang dijalankan. Apa yang dia pandang dengan gaji yang tak berapa sen dia dapat di sini? Peliklah aku! Padahalnya aku ada dengar-dengar juga yang dia nak berhenti kerja dahulu. Tup-tup tak jadi pulak! Jangan ada kena-mengena dengan pujaan hati aku Si Intan Liyana tu sudahlah. Baik aku caras awal-awal!


Terima kasih sudi baca  :)

6 comments:

  1. akak suka...nanti smbg ya

    ReplyDelete
  2. Thanks Kak Aisyah, insya-Allah akan disambung lagi... terima kasih sudi baca... Salam Ramadan kak!

    ReplyDelete
  3. Trying to understand Ikmal but still dun like him...aci tak? ;-)
    Thanks 4 the n3 n Salam Ramadhan , Ain !

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aci je... ha ha ha... Salam Ramadan juga Sis Fara :)

      Delete