Sunday 31 August 2014

Suara Hati Seorang Ikmal - Part 7






Part 7

Arghhh... penatnya! Aku bantingkan tubuh atas sofa. Sampai je di rumah aku terus letakkan beg berisi bekas makanan kosong di lantai dapur. Tak larat dah nak punggah dan masukkan dalam singki.

Kejap lagilah baru mandi. Luruskan badan dulu. Baru gaya nak pejamkan mata aku teringat sesuatu. Bingkas aku bangun dan ambil beg pakaian yang aku letakkan berhampiran tangga. Aku buka zipnya dan pantas menggagau, dapat pun benda yang aku cari-cari.

Aku baring balik atas sofa di ruang tamu ini. Handphone jenama Nokia di tangan, aku ‘on’. Nasib baik handphone ni tak disetkan dengan password. Senanglah aku nak buka.

Perkara pertama yang aku nak tengok adalah peti mesej. Dengan rasa berdebar aku buka peti mesej dan atas sekali adalah mesej daripada Benjamin. Hrmmm... biar aku baca, apa yang selalu mereka mesejkan antara satu sama lain ya?

Banyak rupanya mesej daripada Benjamin. Semua benda dia nak update Yana. Lebih-lebih lagi tentang keadaan daddynya. Hrm... memang nampak sangatlah yang Yana ni manusia penting dalam kehidupan dia!

Nasib baik aku berjaya dapatkan handphone dia ni. Aku siap belikan dia handphone baru, konon menggantikan handphone dia yang hilang. Bukan main dia nak hulur duit tadi. Kalau aku tak ugut nak pinang dia tadi mahu dia tinggal je duit tu dalam kereta.

Kira ni strategi serampang dua matalah. Selain daripada boleh call dan mesej dia selalu dengan nombor handphone baharu aku juga dapat baca mesej-mesej antara dia dengan Ben. Paling penting aku dapat nombor handphone Ben. Ada misi yang mahu aku jalankan.

Aku kena plan baik-baik apa aku nak buat lepas ni. Kalau boleh aku tak mahu tersilap langkah. Macam mana sekalipun, Yana harus aku dekati. Hatinya harusku takluki!


Bukan main masam muka dia masa nampak aku tunggu depan rumah pagi hari Isnin lepas. Asalnya dia menonong je berjalan, buat tak tahu je walaupun aku panggil dan pujuk dia naik dengan aku.

Memang keras kepala jugak si comel yang kecik molek ni. Ikut rasa hati nak je aku ikat dan masukkan dia dalam kereta secara paksa. Tapi takut juga ada jiran-jiran dia yang nampak dan repot kat polis kata aku menculik. Tak fasal-fasal ‘balai cerita’.

Puas hati apabila dapat paksa dia balik dengan aku. Padan muka dia, aku tanya baik-baik balik jam berapa dia kata balik lambat sebab buat overtime. Aku tunggu kat tingkat bawah depan tangga dan pintu lif tu. Tepat sangkaan aku, tak lama lepas siren waktu balik berbunyi dia muncul depan mata aku.

Muka dia makin masam apabila nampak muka aku, tapi senyuman aku makin lebar apabila nampak muka dia. Tak apalah, biarlah ada perbezaan sikit, barulah hubungan ini fun!

Ada sekali tu dia keluar agak lambat. Beria-ia dia berlari nak kejar bas sampai tak perasan aku yang terpacak kat tepi sudut bangunan ni. Dia lari dan aku kejar. Aku terus capai lengan dia dan bawa dia lari ke arah kereta aku di tempat parkir. Marah sangat dia masa tu, nyaris dia nak hempuk aku dengan beg tangan dia. Tapi dia boleh buat apa pun, sebab bas dah jalan. Balik ajelah dengan aku, sama ada dia suka ataupun tidak. Yang penting, aku suka!

“Sabtu dan Ahad biasanya buat apa?” aku tanya masa separuh perjalanan balik. Dia ni bukan main menyombong dengan aku. Jangan haraplah dia akan mulakan cakap. Sepuluh patah aku tanya, sepatah je dia jawab kadang-kadang. Tu yang berganda-ganda rasa geram aku kat dia ni.

“Buat bodo je...”

Nampak tak? Jawapan tu memang boleh membuatkan darah aku menyirap. Dengan dia ni aku kena bersabar 200%.

“Keluar nak?” aku cuba nasib.

“Tak nak!” perghh... cepat betul dia menjawab. Tak dan aku nak cakap keluar pergi mana.

“Ada pesta buku kat SACC Mall, Yana suka baca novel, kan?” aku pernah nampak dia  usung novel. Kalau dia suka baca novel maksudnya dia ni seorang yang sweet dan rasional. Sebab apa aku kata macam ni, orang yang baca novel ni jiwanya halus. Walaupun sekadar membaca coretan dan pengalaman orang lain melalui pembacaan novel, sesetengahnya boleh je diadaptasi dalam kehidupan sebenar. Banyak pengalaman dan pengajaran boleh ditimba melalui novel.

“Suka baca je, tak suka beli!”

Jawapan...! Macam ni penerbit dan penulis novel tak gemar ni. Macam mana nak maju industri penulisan negara kalau ramai yang macam ni!

“Habis novel yang Yana selalu baca tu siapa yang belikan?” tolonglah jangan beritahu aku Ben adalah manusia yang bertanggungjawab membelikan dia novel-novel tu. Harus aku buka syarikat penerbitan sendiri dan cetak novel khas untuk Yana je nanti.

“Pinjam  novel-novel Naz...” lembut pun suara dia. Lega aku dengar.

“Kenapa tak suka beli?”

“Naz dah beli, buat apa nak beli benda yang sama dua kali?”

Betul jugak statement dia tu. Tapi macam tak logik je alasan tu. Aku rasa ada banyak syarikat penerbitan yang menerbitkan novel. Bilangan novel baharu yang diterbitkan pula mahu 60 ke 70 tajuk setiap bulan. Takkan Naz beli semua?

“Jomlah kita pergi esok... abang belanja!”

Habis cakap macam ni dia terus pandang aku dengan mata bulat dia yang cantik tu. 

“Kenapa?” aku tanya dengan muka hairan.

“Tak... tak... ada... apa-apa...” kenapa macam seketul-seketul je dia jawab? Oh, dia terperanjat sebab aku nak belanje ke? Ataupun sebab aku bahasakan diri ‘abang?’ Dah aku lelaki, mestilah bahasakan diri sebagai abang! Kan lebih mesra bunyinya? Aku pun memang teringin nak mesra-mesra dan manja dengan dia ni, lama dah.

“Kita pegi ya petang esok, abang jemput Yana kat rumah...” aku cakap dengan nada teruja dan gembira.

“Tak nak!” kali ni keras jawapan dia. Terus mati rasa teruja dan gembira aku tadi. Sampai hati, dia tolak aku mentah-mentah!

“Terima kasih, lepas ni tak payah susah-susah ambil dan hantar Yana ya Encik Ikmal. Yana boleh balik sendiri naik bas... assalamualaikum!” aku tengok je dia turun dan melangkah, lepas tu dia buka pintu pagar rumah. Salam dia aku jawab dalam hati dengan nada kecewa. Sampailah dia menghilang di sebalik pagar rumah aku masih belum bergerak pergi.

*******************

Kecewa lagi! Jenuh aku tunggu depan rumah, dia tak keluar-keluar. Aku call dah berpuluh kali dia tak jawab. Yana...oh, Yana! Where are you my love?

Dekat-dekat 7:20 kakak tuan rumah tu keluar dan beritahu aku Yana dah pergi. Agaknya dia baru perasan aku tercongok kat depan rumah dia ni. Ishk... betul-betul dia pergi naik bas rupanya!

Sampai tempat kerja dah dekat jam 8 pagi. Tak sempat nak isi perut kat kantin pun. Leret kad kerja dan terus masuk pejabat.

Division meeting akan bermula jam 9 pagi. Sebelum tu aku nak jumpa Yana dulu. Aku nak tanya kenapa dia tak tunggu aku pagi ni? Sampai hati dia buat aku tertunggu-tunggu macam pungguk rindukan bulan!

Habis morning briefing aku terus keluar dan menuju ke IT Division. Aku rasa morning briefing hari ni adalah yang paling lama dalam sejarah perkhidmatan aku di sini. Kenapa semua orang ada banyak sangat benda nak update pagi-pagi buta macam ni? Hai la... hati aku asyik terfikirkan Yana je ni.

“Cari siapa Encik Ikmal?” Liza tegur aku, dia perasan agaknya aku mundar-mandir kat luar jabatan dia orang ni. Aku tak nampak Yana di tempatnya. Nak masuk dan tanya, segan pulak. Mujur Liza keluar, dia nak pergi tandas agaknya.

“Yana tak datang ke?” aku tanya dengan perasaan tidak sabar.

“Datang, dia pergi HR!”

Thanks Liza!” tak bertangguh walaupun sesaat aku terus berpaling. Aku berlari menuruni tangga.

Alangkah hancurnya hatiku, bak kaca terhempas ke batu apabila aku nampak dia sedang tersenyum, duduk atas kerusi Ben. Manis sungguh senyuman yang dia ukir, kalau dengan aku jangan haraplah dia nak sedekah senyuman macam tu. Bias gila.

Paling tak boleh blah, jejaka hangit tu ada kat tepi dia. Berdiri rapat dengannya dan eh... eh... bukan main dia menunduk dan mendekatkan wajahnya kepada wajah Yana. Hati aku berdegup laju, penuh dengar rasa cemburu.

Ha, Ikmal... alang-alang you dah ada di sini, boleh kita discuss sekejap fasal budak-budak department you yang nak OJT tu? To clarify about duration and their allowances!” HR Manager ni pulak tegur aku. Alahai!  Aku pandang jam di tangan, ada 20 minit lagi sebelum mesyuarat bermula.

Aku tawar hati nak bekerja hari ni. Kalau aku tahu Ben dah balik ada baiknya aku duduk diam-diam je kat pejabat tadi. Tentu hati aku tak sedih dan mata aku tak sakit menyaksikan mereka berdua bergelak ketawa tadi. Aku hanya mampu memandang Yana sekilas apabila dia lalu di sebelah aku dan tuan haji.

**********************

Aku baru balik dari Klang, separuh perjalanan azan maghrib berkumandang. Tak sangka pulak jalan jem hari ni. Aku bajet sempat sampai sebelum maghrib. Nampaknya tersasar jangkaan aku.

Entah kenapa hari ni aku teringat sangat kat Yana. Lebih-lebih lagi apabila mama dan papa mula bertanya, bilakah agaknya kami boleh pergi menghantar tanda. Yang mama dan papa tak tahu, bermacam tanda tanya sedang bermain di fikiran aku sekarang ni. Hrm...

Kereta aku berhenti agak jauh daripada rumah kediaman Yana. Tak dapat tengok orangnya, tengok bumbung rumahnya pun jadilah. Rindu tahap kronik dah aku ni.

Tak sampai beberapa minit aku memerhatikan rumah tersebut sebuah BWM warna putih berhenti berhampiran pagar. Manusia yang paling aku cemburui tu keluar dan berjalan ke arah pintu pagar. Tak lama kemudian aku nampak gadis yang paling aku rindui membuka pintu pagar sambil memberikan senyuman yang mesra.

Cantiknya dia! Berpakaian serba biru. Ada majlis apa yang sampai dia menjemput Ben ke rumah? Ishk... patutkah aku panggil JAIS tangkap basah dia orang? Aku rasa kakak tuan rumah tu tak ada, porch kelihatan kosong.

Tapi kalau aku repot kat JAIS, lebih mudahlah jalan dia orang untuk bersama, kan? Tak boleh... tak boleh! Aku tak boleh buat kerja bodoh tu. Dari kejauhan aku nampak lampu di kawasan luar rumah terpasang dan ada suara bercakap-cakap di luar rumah. Ada majlis makan malam kut.

Oh, kawan baik dia Naz tu pun ada sama. Erm... kalau aku skodeng dia orang tentu bertambah sakit hati. Lebih baik aku blah, maghrib pun belum aku tunaikan lagi. Dengan hati separuh rela aku memandu kereta.



 Terima kasih sudi baca. Sesiapa yang mahu saya tag setiap kali ada entry terbaharu sila beritahu ya. PM pun boleh. Saya takut nak main tag je, nanti mengganggu...

Terima kasih sekali lagi...




















12 comments:

  1. Akak Inesengg : akhirnya ada abang Ikhmal ...... ku dah rindu-rinduan nie....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Erkkk Akak Inesenggg... mmm, akak ambikla Ikmal ni...free je saya kasi...huhu

      Delete
  2. Replies
    1. Hehe... Insya-Allah, saya akan update n3 baharu nanti...

      Delete
  3. Ain ain.. Ke mana ain menghilang? Dah ada blog baru ke? Apsal kawin kampus dh takde?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ain ada je... hehe... disabled dulu KK tu, sedang dirombak... terima kasih sudi bertanya...

      Delete
  4. Replies
    1. Thanks Sis Ayna Umairah... sudi baca dan komen...

      Delete
  5. Kenapa x Sambung sis ain Kamalia..dah lama tnggu ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sis Suri Sue... ampun dan maaf ya kerana membuatkan sis tertunggu-tunggu... insya-Allah saya akan sambung nanti... maaf ya...

      Delete
  6. Replies
    1. Insya-Allah, ada kesempatan saya cuba sambung kisah ini. Terima kasih sudi baca...

      Delete