“Cik Fasihah Husna?” Seorang perempuan cantik dan bersuara lemah
lembut menyapa.
“Saya!” Aku menjawab sebaik membalas senyuman manisnya.
“Ini untuk cik!” Jambangan besar bunga ros merah diserahkan
kepadaku.
“Untuk saya?” Aku buat muka hairan.
“Ya, untuk cik. Silalah ambil!” Dengan senyuman jambangan bunga
didekatkan kepadaku apabila aku tidak menyambutnya tadi.
“Husna! Kami bergerak dulu!” Aku dengar suara Abang Azri dan dia
melambai pergi dengan yang lain-lain.
“Daripada siapa ya?” Aku masih tidak mahu menyambut jambangan bunga
ini. Aku tengok muka perempuan depan aku ni dah serba-salah.
Sekonyong-konyong mata aku terpandang kepada sekumpulan lima ke enam
orang lelaki yang sedang berjalan dengan penuh bergaya. Berada di tengah
lelaki-lelaki tersebut seorang lelaki tinggi lampai yang berkulit hitam manis, siap bercermin mata hitam.
Ketika aku terpandang dia yang berada di kejauhan
sana dia buat isyarat suruh aku ambil jambangan bunga tersebut.
Bagaikan dipukau aku sambut jambangan bunga di tangan perempuan
depan aku ni. Boleh tahan berat juga jambangan bunga ni. Aku pandang sekali
lagi arah lelaki-lelaki tadi yang dan lelaki hitam manis itu tunjukkan ibu jari
kepadaku. Kepalanya sedikit terangguk dan dia terus berjalan.
“Terima kasih Cik Fasihah Husna, saya minta diri dulu!” Perempuan
depan aku anggukkan kepala dan berpusing untuk pergi.
“Err... sama-sama,” perlahan perkataan itu kusebut. Aku toleh
belakang dan nampak kelibat Abang Azri dan yang lain-lain sudah jauh
meninggalkanku. Segera kuhayun langkah kaki, mahu menyaingi mereka.
Aku pun tak tahu mana nak letak bunga sejambak ni. Haish, walaupun
bunga ni memang cantik dan berbau wangi namun sedikit sebanyak menyusahkan
juga. Sampaikan tertumpah jus oren yang aku minum, maklumlah sambil meriba
jambangan bunga besar ni. Nak letak kat tempat kaki tak sampai hati pula, mesti
mahal jambangan bunga ni. Kebetulan pula semua tempat duduk penuh hari ini.
“I nak pergi tandas kejap!” Aku beritahu Sharine yang sedang leka
membaca di sebelah. Kalau akulah memang takkan boleh membaca dalam sebarang
jenis kenderaan. Kejap je nanti kepala aku akan pening dan mata aku
berpinar-pinar.
Sharine anggukkan kepala dan aku berlalu menuju ke tandas. Mahu
membersihkan tumpahan air oren yang terkena blaus dan seluar panjang yang
kupakai. Dahlah blaus aku ni berwarna krim, memang nampaklah kesan kuning air
oren tu.
Siap mencuci dan mengelap kesan tumpahan air oren tu aku merapikan
tudung kepala. Setelah berpuas hati dengan penampilanku yang sederhana ini aku
keluar dari tandas dan berjalan melalui laluan antara kerusi penumpang untuk
kembali ke tempat dudukku.
Aku lihat nombor tempat duduk dan juga orang yang berada di tempat
sepatutnya Sharine berada.
“Duduklah!” Dia angkat jambangan bunga ros yang kuletakkan atas
tempat dudukku tadi.
“Sharine mana?” Nak tak nak terpaksalah aku duduk juga. Dah memang
sini tempat asal aku tadi. Dia ni yang merempat kat sini dah kenapa?
“Aku tukar tempat dengan dia!”
“Kenapa?” Aku tanya dengan muka terperanjat. Apasal tak tukar tempat
dengan aku je? Dia duduk business class
kut!
“Aku nak duduk sebelah kau! Erm, lawa jambangan bunga ni. Siapa
bagi?” Dia bisik kat telinga aku.
“Orang bagi!” Aku jawab dengan selamba dan ambil bunga dari ribaan
dia. Aku dengar dia gelak.
“Memanglah orang yang bagi, takkan monyet pandai bagi orang bunga pulak!”
Malas layan dia maka aku mendiamkan diri. Aku lebih daripada perasan
yang ada beberapa penumpang yang tertoleh-toleh memandang dia. Tak boleh ke dia
duduk diam-diam kat business class tu
tadi?
“Husna! Siapa bagi bunga ni?”
“Aku pun tak tahu siapa yang bagi!”
“Wah, kiranya kau ada secret
admirerlah ni?”
“Entahlah, malas aku nak fikir!”
Aku tipu dia je ni. Padahalnya aku dah boleh agak siapa yang bagi.
Takut dia tak percaya je kalau aku cakap siapa gerangan si pemberi jambangan
bunga ros merah ini.
“Aku rasa macam tak percaya je dijemput ke istana. Tu kira peluang
sekali seumur hidup, kan?” Huzir, lelaki yang duduk di sebelah aku ni tak
jemu-jemu mahu berbual.
Huzir Hanafi ni pada aku adalah seorang lelaki yang unik. Kebanyakan
ahli keluarganya terlibat dalam dunia perubatan. Dia ni juga adalah lulusan
dalam bidang perubatan, entah apa yang tak kena dia terlibat dalam dunia
penyiaran dan hiburan pula.
Dia adalah salah seorang selebriti yang sedang
meningkat naik dalam bidang hiburan negara.
Aku kenal dia setahun yang lalu. Ketika mula-mula bekerja dengan
stesen penyiaran swasta yang terkenal di negara ini. Kebetulan tak lama kemudian
dia menjadi pengacara untuk rancangan variasi dan juga rancangan masakan yang team aku kendalikan.
“Betul tu. Kalau tak dapat jemputan memang jangan bermimpilah nak ke
sana.” Aku bersetuju dengan kata-kata Huzir.
“Pengiran Muda Mahmood tu, baik orangnya. Kau tak rasa ke bertuah
hidup dia. Handsome, berpelajaran dan
kaya-raya?” Huzir menyebut nama anak raja yang mengiringi kami sepanjang berada
di istana dan membuat penggambaran.
Lidah terasa kelu. Memang aku akui, Pengiran Muda Mahmood ataupun
yang aku kenali sebagai YMP itu memang baik orangnya. Tetapi yang tidak team
aku ketahui adalah aku dengan YMP itu sudah saling mengenali sebelum ini.
Aku rasa, YMP yang membuat pelawaan agar kami ke istana kediaman
keluarganya. Kerana sepanjang di sana dia yang banyak mengelolakan kami.
Sentiasa ada dengan kami. Dan entah kenapa aku terasa yang semua itu ada kena
mengena denganku.
“Kau kenal rapat dengan Pengiran Muda Mahmood tu?” Huzir utarakan
soalan yang tidak aku jangkakan.
“Ishk, takkanlah. Dia itu anak raja sedangkan aku ni rakyat marhaen.
Kat celah mana pulak aku nak kenal
rapat dengan dia?” Lidah lancar memberikan alasan.
“Manalah tahu kalau-kalau kau orang pernah berjumpa sebelum ni.
Sebab aku nampak pengiran tu pandang kau dengan penuh berminat!”
“Pandang dengan penuh berminat? Pelik ulasan kau ni!”
“Aku rasa dia suka kau!” Huzir rapatkan badan ke arahku dan berbisik
di telinga.
“Merepeklah kau!”
Aku jauhkan muka dan tubuhku daripada dia. Hanya
apabila dia kembali bersandar di tempat duduknya aku kembali ke posisi tadi.
“Tapi aku tak hairan kalau dia suka kau!” Huzir senyum pandang aku.
“Maksud kau?”
“Sebab aku pun suka kat kau juga! Tak susah nak suka kat kau ni.
Cuma kau je yang suka jual mahal!” Huzir sambung senyum. Aku dah terpaku, tak
tahu nak cakap apa!
No comments:
Post a Comment